Jumaat, 5 Disember 2014

Perubahan, Penghijrahan dan Dakwah


Dari Imam Al-Ghazzali berkata bahawa Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda yang bermaksud sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu dijadikan Adam ‘Alayhi Salam dan pada hari Jumaatlah terjadinya kiamat. Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan semulia-mulia hari di sisi ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi serta segala yang berada antara keduanya. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam dan para sahabat. Allahumma Sholli a’laih wasallam wa a’la aalihi washohbihi ajmain.

Apa khabar sahabat-sahabat semua, Alhamdulillah kita bertemu sekali lagi di hari Jumaat yang mulia ini. Saya doakan sahabat-sahabat semua sihat hendaknya. Sihat tubuh badan, sihat dari segi akal dan minda serta sihat imannya. Insha Allah

Pagi tadi saya membuat pemeriksaan susulan di Klinik Kesihatan Kelana Jaya. Ya lah, walaupun telah habis ubat yang dibeli dari farmasi, batuk yang saya alami ini masih tidak menunjukkan prognosis untuk pulih. Sudah tiga hari masih lagi batuk dan keadaannya masih juga teruk. 

Mungkin ramai yang tahu (dan bagi sahabat-sahabat yang tidak tahu) bahawa sebelum ini saya mengikuti Diploma Kejururawatan di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, Kubang Kerian. Ilmu yang saya pelajari selama ini membuatkan saya sentiasa inquiry tentang penyakit-penyakit setiap kali saya demam, batuk ataupun selsema. Mungkin itu dinamakan sebagai nursing instinct

Saya membuat tindakan untuk berjumpa dengan doktor kerana kerisauan saya dengan penyakit Chronic obstructive pulmonary disease (COPD) iaitu sejenis penyakit progresif akibat saluran udara menjadi sempit yang boleh mengancam nyawa. COPD sering dikaitkan dengan tabiat merokok tegar, udara yang tercemar serta terdedah pada persekitaran kerja tertentu hingga berlakunya sekatan pada laluan udara paru-paru. Situasi ini menyebabkan pesakit tercungap-cungap akibat sesak nafas.

Seperti yang saya telah nyatakan, antara simptom kepada COPD ini adalah tidak boleh bernafas dengan lancar seperti biasa (breathlessness), cepat mengalami keletihan (tiredness), batuk (coughing) dan penghasilan kahak (production of sputum).  Keempat-empat simptom ini sememangnya ada pada saya. Ditambahkan lagi dengan habit saya sebagai seorang perokok tegar dan keadaan tempat kerja saya yang berdebu kerana dalam proses pengubahsuaian membuatkan saya bertindak membuat diagnosis sendiri bahawa kemungkinan saya mengalami COPD. 

Namun Alhamdulillah, setelah melalui konsultasi dengan doktor, akhirnya saya keluar dari bilik pemeriksaan dengan senyuman. Bukan COPD. Hanya batuk biasa sahaja. Doktor menasihatkan saya agar banyakkan rehat, kalau boleh kurangkan merokok dan sebaiknya berhenti terus (Insha Allah akan diusahakan) serta banyak minum air masak bagi mengurangkan kahak. 

Hajat pada mulanya ingin balik semula ke College namun mendapat SMS daripada Marketing Manager menasihatkan saya agar berehat sahaja dirumah dan utamakan kesihatan dahulu dari kerja. Maka saya mengambil keputusan untuk mengisi perut di gerai berdepan dengan Klinik Kesihatan Kelana Jaya dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling. Selesai sudah saya terus menahan teksi untuk ke Masjid Tengku Kelana Putera yang terletak di SS7 tidak berjauhan dari rumah sewa saya. 

Selesai sudah solat Jumaat, sambil berjalan kaki balik ke rumah sewa, mata ini sibuk melayari Facebook dalam handphone. Pelbagai ragam dan karenah manusia boleh kita jumpa dalam laman Facebook ini. 

Tiba-tiba mata saya terhenti pada video ucapan Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling yang menjadi viral minggu lepas. Ya, itu lah yang ingin saya kongsikan hari ini. Dari ketika clip video tersebut disebarkan dalam laman sosial lagi saya ingin menjadikannya sebagai tajuk entry saya, namun kekangan masa membuatkan saya melupakan terus hajat saya itu.



Hari ini, saya kongsikan pula pandangan saya berkaitan isu yang cuba dipopularkan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling tersebut yang juga seorang pendakwah.

Al-Quran Mengajarkan Perubahan



ALLAH ‘Azza wa Jalla berbicara kepada kita tentang perubahan dalam dua surat, yaitu surat Al-‘Anfal dan Ar-Ra’d. Di dalam surat Al-Anfal ALLAH berfirman:


Demikian itu, ialah kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah Al-‘Anfal: 53)

Dan di dalam surat Ar-Ra’d ALLAH berfirman,



Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila ALLAH menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-NYA itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-NYA.

(Surah Ar-Ra’d: 11)

Di dalam ucapan ketua wanita UMNO bahagian Baling, antara banyak-banyak kekeliruan yang beliau nyatakan, satu sahaja yang amat menarik minat saya iaitu perubahan artis kea rah lebih Islamik dan berdakwah. Beliau mengatakan kebanjiran golongan artis berhijrah dan giat berdakwah kebelakangan ini seolah menjadi trend, apabila golongan itu tidak lagi aktif dalam dunia hiburan sehingga beliau dengan lantang membuat penghakiman sendiri iaitu dengan memperlekehkan golongan artis yang berhijrah ini dengan label Ustaz Express dan Ustazah Jadian.

Apa masalah dengan Senator Datuk Dr. Mashitah kita ini?
Artis Berhijrah: Bolehkah Mereka Berdakwah?




Saya yakin ramai yang menyaksikan penghijrahan artis-artis tanahair  kepada yang lebih baik. Bukan sedikit tapi boleh dikatakan ramai. Seperti yang anda ketahui bahawa penghijrahan mereka ini bukan sekadar memberi impak kepada masyarakat malah kepada dunia politik di negara kita.

Oleh itu tidak pelik dan tidak hairan kalau saya katakan ada orang yang dengki atau rasa kurang senang kepada artis yang berhijrah ini sehingga kan penghijrahan mereka ini menjadi topik hangat Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. 

Saya yakin dan percaya artis ini tidak pernah menceritakan mengenai bab hukum, mengupas bab-bab fekah (fiqh), aqidah dan lain-lain. Cuma mereka ini hanya menceritakan pengalaman mereka sewaktu lagha (tidak berfaedah/sia-sia) dahulu dan bagaimana transfomasi yang mereka lakukan untuk kembali kepada fitrah manusia yang sebenarnya.

Memang benar ada dikalangan artis ini bukan ustaz dan ustazah tetapi bukan bermaksud mereka tidak boleh menyampaikan dakwah. Dakwah itu pula tidak semestinya menceritakan bab-bab hukum fiqh sahaja. Sedangkan konsep dakwah itu sendiri adalah luas. Jangan disempitkan. Yang paling penting dakwah itu bukan khusus kepada para alim ulama' sahaja. Ya, memang benar dari sudut mengupas hukum dan mengeluarkan fatwa perlu ada orang yang  ada authority tentang hal tersebut. 

Dalam bab menyampaikan dakwah bukan perkara tentang hukum, orang awam dan sesiapa sahaja perlu menyampaikan dakwah ini.

Contohnya menutup aurat itu wajib kemudian kita menyampaikan kepada saudara dan para sahabat kita. Adakah dakwah seperti ini tidak dibenarkan?
 
Bab menghina, mencaci maki para ulama' adalah satu perbuatan mengkhianati agama dan merosakkan sistem ISLAM itu sendiri. Kita menghalang orang yang menghina tersebut supaya mereka tidak menghina lagi dan mengatakan perbuatan itu merupakan salah disisi agama. Tidakkah ianya dikategorikan sebagai berdakwah juga?

Menyampaikan dengan pemahaman daripada ilmu yang kita belajar adalah merupakan fardhu kifayah. Oleh sebab itu Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda:


"Sampaikanlah dariku walau satu ayat".  (HR Bukhari)


Apa yang anda faham tentang hadith berkenaan? Adakah kita dengan sesuka hatinya boleh menyampaikan apa sahaja yang kita dengar kepada orang ramai? Maka disini saya ingin menyatakan bahawa menyampaikan sesuatu ilmu perlukan pemahaman terlebih dahulu dan beramal dengannya dengan baik dan mantap.

Kemudian sampaikanlah kepada mereka yang berkenaan agar mereka kembali ke jalan fitrah-NYA. Pemahaman itu perlu untuk mengelakkan kekeliruan. Bagi saya ilmu asas agama iaitu soal aurat, solat, puasa dan rukun agama yang biasa kita dengar dari alim ulama', saya yakin semua umat ISLAM pasti mengetahuinya.

Jadi tujuan dakwah yang dilakukan adalah untuk mengingatkan kembali kepada mereka yang sudah lupa atau buat-buat lupa. Proses ini mesti berterusan dan tersambung sehingga sampai ke seluruh umat ISLAM. Oleh kerana itu dakwah perlu bagi setiap umat ISLAM tanpa ada alasan yang lainnya.

Bagi mereka yang mungkin berpendirian bahawa seseorang itu tidak layak berdakwah ataupun baru sahaja berubah dan sesungguhnya tidak layak untuk berdakwah, itu hanyalah pemahaman yang tidak betul. Sudah tentu yang berubah itu ada ilmu yang mereka pelajari sehingga menjadikan mereka insaf dan berubah keseluruhannya. Jadi tidak salah sekiranya berkongsi ilmu apa yang mereka belajar moga menjadi ikutan orang ramai kepada perubahan tersebut.

Impaknya cukup besar apabila dikalangan mereka adalah artis yang mempunyai fan base yang ramai. Dengan ikutan peminat yang ramai itu pasti merubah walau tidak banyak tetapi beri kesan yang baik untuk jangka masa panjang. Jadi, kenapa kita perlu menghalang mereka?

Satu Penghijrahan Seribu Pujian

Berlainan dengan penceramah bebas Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (seorang pendakwah wanita tanahair yang amat saya kagumi) menyifatkan penghijrahan yang dilakukan artis-artis itu patut diberi pujian serta sokongan agar mereka dapat memainkan peranan menyampaikan dakwah kepada setiap lapisan masyarakat. Transformasi ini merupakan perkembangan sihat serta satu langkah yang diambil tepat pada masanya demi kebaikan semua pihak. Ini kerana sudah menjadi fitrah kita sebagai hamba ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala apabila kita mendapat hidayah, kita mahu berkongsi ilmu yang kita peroleh dengan orang lain sebagai langkah mengajak bersama-sama ke arah kebaikan. 

Beliau turut menasihati para artis itu supaya berhijrah dengan melakukan dakwah seikhlas hati tanpa mengharapkan gelaran, pujian atau mencari publisiti semata-mata. Katanya setiap penghijrahan ke arah kebaikan dijanjikan keampunan daripada ALLAH atas dosa-dosa lampau asalkan niat kita ikhlas dan sentiasa beristiqamah (tetap dan berperaturan).

Justeru itu, beliau memuji tindakan artis-artis berkenaan dan mengharapkan mereka akan menjadi contoh kepada artis lain serta golongan muda kerana mereka adalah icon yang sentiasa menjadi ikutan dan mampu berdakwah dengan cara mereka tersendiri.

Sampaikan Ilmu Walau Sepotong Ayat

Turut berkongsi pendapat ini, penceramah bebas yang juga suami kepada Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid. Beliau berkata dalam Islam tiada halangan atau batasan untuk berdakwah kerana semua manusia adalah khalifah (pemimpin) ALLAH.

Semua kita mempunyai peranan masing-masing dalam usaha berdakwah untuk memperbaiki ummah dan seseorang itu tidak perlu betul-betul sempurna jika mahu menyampaikan dakwah bersesuaian lah dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam  iaitu sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. Ini kerana jika kita tunggu betul-betul sempurna baru hendak berdakwah, maka Islam akan lambat berkembang cuma apa yang perlu adalah ilmu yang disampaikan mestilah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah (hadith).

Satu kaji selidik yang dijalankan di sebuah universiti di Kuala Lumpur, hampir 60% golongan muda khususnya generasi Y menjadikan artis sebagai icon dan ia merupakan pendekatan yang paling efektif untuk para artis itu menyampaikan dakwah mereka.

Usaha berdakwah oleh golongan artis ini harus diteruskan kerana ilmu yang dikongsi tidak akan luak malah ia akan terus berkembang serta mendapat keberkatan daripada ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Menyampaikan ilmu kepada orang lain bukanlah satu perkara yang sia-sia kerana ilmu itu akan bertambah jika kita amalkan serta sebarkan malah ilmu ini tiada had seumpama tujuh lautan luasnya.

Lima Prinsip Jadi Pegangangan

Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah juga pernah menerangkan bahawa lima prinsip utama yang boleh dijadikan pegangan oleh artis yang berhijrah semasa berdakwah adalah (1) ikhlas, (2) istiqamah, (3) ikutan, (4) indah dan (5) ilmu.

Apabila hendak berhijrah, hati mesti ikhlas agar timbul istiqamah yang akan mengukuhkan lagi penghijrahan itu dan ia akan memudahkan mereka menarik peminat mereka untuk turut sama melangkah ke arah yang lebih baik.

Setelah hijrah itu menjadi ikutan, maka akan timbul pula keindahan dalam berdakwah apabila ajaran agama yang diamal dan disampaikan itu memberi kesan dalam diri sendiri yang seterusnya ilmu yang dipelajari dipraktik oleh masyarakat.

Imam Hassan Al-Banna menyebut, “Baiki diri kamu, dan pada masa yang sama, dakwah orang lain”. Saya sendiri pun belum sempurna, namun saya berusaha berkongsi sedikit ilmu yang lebih yang dimiliki. Contoh mudah untuk kita berfikir – jika tangan kita kotor, adakah kita tak boleh basuh pinggan yang kotor? Tentulah boleh kerana dengan itu pinggan bersih, tangan pun bersih.

Oleh itu sekiranya mereka (golongan artis yang berhijrah) berjuang untuk mempertahankan dan mendaulahkan ISLAM, kita sebagai umat ISLAM sudah tentu wajib menyokongnya. Kalau bukan kita, siapa lagi?


Namun apa yang amat menyedihkan saya ialah perubahan yang dilakukan oleh Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Daripada dahulunya terkenal sebagai seorang pendakwah yang lemah lembut tutur katanya, bertudung labuh, menampilkan ciri-ciri Muslimah yang menjadi ikutan ramai anak-anak muda telah sekelip mata berubah menjadi seorang yang modern, mengikut trend semasa, tudung ala-ala free dada (Fareeda), kening diolah cantik, bersolek dan mula mengenakan busana yang menampakan susuk tubuh wanita. Astaghfirullahal'adzim, alladzi la ilaha illa huwal hayyul qoyyumu wa atubu ilaih. Percakapan beliau menjadi semakin sombong, berbunyi seakan riak dan lantang menemplak serta memperlekehkan orang lain. 
Adakah itu yang diajar oleh Islam selama ini, wahai Senator Datuk Dr. Mashitah?

Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda bermaksud: “Perbaikilah akhlak (budi pekerti) kamu sekalian.” 

Imam Ghazali menyebut dalam Ihya’ ulumiddin: “Bagaimana kita boleh menolak perubahan akhlak dan kelakuan pada manusia. Perubahan juga boleh berlaku pada binatang. Bukankah burung helang yang asal sifatnya liar itu boleh dijinakkan? Begitu juga dengan kuda yang degil dan menentang sifatnya, dapat dijinakkan menjadi patuh serta menurut. Semua itu adalah perubahan dalam akhlak dan sikap.

Orang yang menyatakan akhlak atau sikap tidak mungkin boleh berubah, maka kita tanya kepadanya: “Sekiranya akhlak dan kelakuan itu tidak mungkin untuk berubah, maka sudah tentulah tidak ada gunanya peringatan yang kita dituntut untuk menyampaikannya, atau nasihat-menasihati antara satu sama lain, ataupun pendidikan.” 

Hakikat budi pekerti itu adalah perilaku (hal dan keadaan) yang meresap dalam jiwa seseorang. Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan dengan perasaan senang dan mudah, tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan. Jika yang terbit daripada perilaku itu perbuatan elok dan terpuji menurut ukuran akal mahupun syarak, maka perilaku ini dinamakan budi pekerti yang baik. Sebaliknya, jika yang terbit adalah perbuatan jahat, maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya segala perbuatan jahat itu dinamakan budi pekerti yang jahat. 

Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya orang yang terdekat kepadaku di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.” 

Sudah sepatutnya orang yang beriman dengan Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersemangat untuk menghiasi dirinya dengan semua bentuk akhlak mulia. Sehingga Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam mencintainya dan dekat dengannya di akhirat kerana sikap dan kelakuannya mengikut apa yang Baginda perintah. 

Dalam hadis lain, Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara sekalian kamu dan paling dekat kedudukannya kepadaku di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya. Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku dan terjauh dariku di akhirat iaitu mereka yang terburuk akhlaknya. Mereka itulah ‘Tsarsarun’, ‘Mutafaihiqun’ dan ‘Mutasyaddiqun’.” 

Maksud Tsarsarun ialah orang yang banyak cakap, mutafaihiqun ialah orang yang sombong dan mutasyaddiqun ialah mereka yang cakap tanpa berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam dan ingin dekat dengannya di akhirat, hendaklah ia memperbaiki perangainya dan bersungguh-sungguh hingga tercapai cita-citanya.


Janganlah  Kita Memiliki Sifat Munafik

Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam yang bermaksud :

“Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.”

(HR al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa terdapat empat ciri-ciri munafik dari segi perbuatan dan amalan (melakukan dosa besar) , sifat yang sangat dibenci oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala.

  1. Khianat amanah iaitu mencabul dan mengkhianati amanah-amanah yang wajib dipelihara dan meremeh-temehkan amanah yang diberikan padanya atau tidak menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya yang diserahkan padanya, kerja dengan sambil lewa dan ia gunakan amanah yang diberikan kepadanya untuk mendapatkan kepentingan diri dan keluarganya. 
  2. Bercakap bohong. Membuat penjelasan, kenyataan dan penerangan yang dusta atau seakan-akan dusta samada dengan lisan atau tulisan, memutar belit dan memesongkan keterangan yang sebenar, mengubah dan menokok tambah kenyataan untuk disesuaikan dengan seleranya, membuat kempen-kempen atau promosi-promosi dusta dan propaganda liar dan segala bentuk penyelewengan kata-kata dan bicara termasuk membesarkan yang kecil dan memperkecilkan yang besar. 
  3. Mencabul janji-janji yang diikrarkan dan mencabul perjanjian yang dipersetujui bersama. 
  4. Ingin menang dalam pertengkaran walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah atau terpaksa membawa saksi yang palsu bagi menguatkan hujahnya.

Jika dalam hati kita bersarang perasaan hasad dengki, ada perasaan benci pada pendakwah ISLAM, benci pada pakaian menutup aurat dan sering menfitnah para daie yang berjuang menegakkan Islam ini bermakna dalam hati kita masih bersarang sifat nifak atau munafik. Sifat inilah yang akan menjauhkan kita daripada rahmat ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Oleh itu sama-samalah kita perbaiki hati dengan mendekatkan diri dengan majlis ilmu, bersahabat dengan orang soleh dan menjauhkan diri daripada orang-orang yang suka melakukan maksiat.

Wallahu a'lam bish-shawabi.

Nota Kaki:
Firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka." (Surah An-Nisaa: 145)

1 ulasan:

  1. Teruskan usaha murni andamenyampaikan dakwah melalui blog. Saya sentiasa mengikuti penulisan anda.

    BalasPadam