Ahad, 26 Oktober 2014

Kita Semua Penulis Buku Amalan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. May Allah's Peace, Mercy and Blessing be upon all of you.

Sama ada menulis diksi yang baik atau buruk, kita sendiri pilih!

Terjaga dari tidur dengan mengejut secara tiba-tiba teringatkan hari kematian - bila, dimana dan bagaimana - sangat menyeramkan jiwa. Saya akui.

Duduk. Tiba-tiba terfikir. Bagaimana dengan buku amalan? Apakah buku itu akan diterima oleh tangan kanan; tanda keselamatan, atau tangan kiri; tanda kebinasaan?

Buku amalan. Penulisnya adalah kita sendiri. Titik!

Bila sampai masanya, buku itu bakal disemak oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dan kerajaan-NYA, lalu akan ditentukan, sama ada ia menjadi penyelamat atau asbab kebinasaan sendiri. Semuanya akan berlaku pada Hari Pengadilan. 

Sama ada isi kandungan buku itu baik atau buruk, penulisnya yang menentukan!

Bila terfikir akan ini, saya jadi seram sejuk. Benar kita adalah 'penulis'. Tapi kita sentiasa diawasi oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala serta malaikat-malaikat di kiri dan kanan. Setiap sesuatu yang kita lakukan dan ucapkan kan dicatat oleh Raqib dan Atid. 

Mungkin kita tidak berasa kita bersama 'sesuatu' yang lain apabila bersendirian sebab malaikat itu tidak terlihat oleh mata. Saya bertanya pada diri, agaknya kalau ALLAH Subahanahu Wa Ta'ala takdirkan malaikat itu dapat dilihat oleh manusia, pasti tiada kejahatan yang berlaku kerana kesemuanya mahu dicatat amal yang baik-baik sahaja.

Eh! Nampak tak kaitan antara kedua-duanya?

Setiap apa yang kita lakukan dan ucapkan di hadapan mahupun di belakang manusia lain, secara automatiknya akan tercatat dalam buku amalan kita. Saya tidak dapat membayangkan dosa-dosa yang telah saya buat selama ini (Astaghfirullah hal'azim al lazi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih). Bukankah DIA ada menceritakan keadaan kita disana nanti? Saat kita menerima buku amalan kita.

 Ini dinyatakan oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran , Surah Al-Insyiqaq ayat 6-12:


Yang bermaksud: Wahai manusia. Sesungguhnya kamu sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa kamu) kembali kepada TUHANmu, kemudian kamu tetap menemui balasan apa yang telah kamu usahakan itu (tercatat semuanya). Kemudian sesiapa yang menerima surat amalnya dengan tangan kanannya; maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang menerima surat amalanya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka dia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya dan dia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
(Surah Al-Insyiqaq: 6-12)

Saya jadi speechless sekejap saat membaca surah ini.

KITA BOLEH MENJADI PENULIS YANG BAIK

Bila ditilik-tilik kehidupan di dunia ini, terasa seperti penjalannya sungguh panjang. Dugaan datang bersilih ganti. Lumrah jiwa manusia; hidup terlalu senang tiada masalah, jiwanya akan resah. Bila berhadapan dengan hidup yang selalu diuji, pun jiwanya akan resah. Padahal, umur kita di dunia tidaklah selama mana.

Bila-bila sahaja kita akan dijemput oleh kematian. Saat ini? Sebelum subuh? Esok? Kita tidak tahu. Apa yang kita imani, kematian itu pasti datang tanpa diundang. Pasti. Malah kita tidak tahu keadaan yang bagaimana kita akan mati. Pergi dengan kebaikan? Atau pergi dalam keaiban?

Saya tidak mengajak kita semua berubah secara drastik. Saya tahu, insha Allah kamu lebih baik dan berilmu daripada saya. Apa yang penting adalah perubahan yang dimulai daripada sekecil-kecil perkara. Mengapa? Kerana daripada yang kecil itulah selalunya mencetuskan sesuatu yang besar.

Saya mahu berubah kepada yang lebih baik - untuk ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, diri sendiri serta insan yang disayangi. 

Kamu?

Sudi tidak kiranya kita melakukan perubahan ini bersama-sama?

Tiada niat jahat tersembunyi. Jangan risau. ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala sebagai saksi. 

Saya di sini, sahabat di sana. Sama-sama. Kita melangkah melakukan perubahan dengan niat yang sama; redha-NYA. Mungkin nampak remeh. Tapi terpulanglah. Bumi yang bulat ini sentiasa berputar. Masa sedang berjalan. Hari 'itu' pula sedang menghampiri. 

Saya cuma terbayang, alangkah bahagia bersama sahabat semua - berada dalam satu tempat; Jannah! Pengharapan melangit tinggi? Biarlah. Tahu diri ini tidak layak. Tapi tidak salah mengemis pada TUHAN sendiri, kan?

Mungkin sukar bagi kita untuk melakukan apa yang dikata atau yang dihasrat, cuma keazaman yang tinggi perlu untuk kita berhijrah ke arah yang lebih baik dan diredhai-NYA. Sepertimana firmah ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran, Surah Ar-Ra'd ayat 11:



Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah ALLAH. Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila ALLAH menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolong atau menahan apa yang ditetapkan-NYA itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-NYA.
(Surah Ar-Ra'd: 11)

Akhir kalam, dikesempatan ini (2 Muharram 1436H); saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah 1346H kepada semua umat Islam seluruh dunia terutama sekali sahabat-sahabat sekalian. Marilah kita bersama-sama berubah dari insan yang baik kepada insan yang lebih baik. Semoga segala amalan baik kita diterima-NYA dan diberkati-NYA. Insha Allah.

Wallahu A'lam Bish-Shawabi

NOTA KAKI: Hijrah bukan sekadar lintasan sejarah, tetapi hukum yang masih berjalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan