Dari Imam Al-Ghazzali berkata bahawa Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda
yang bermaksud sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari
Jumaat. Pada hari itu dijadikan Adam ‘Alayhi Salam dan
pada hari Jumaatlah terjadinya kiamat. Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu
segala hari dan semulia-mulia hari di sisi ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan nama ALLAH
yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian
alam yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi serta segala
yang berada antara keduanya. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda
Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam dan para sahabat. Allahumma Sholli a’laih wasallam wa a’la aalihi washohbihi ajmain.
Apa khabar
sahabat-sahabat semua, Alhamdulillah
kita bertemu sekali lagi di hari Jumaat yang mulia ini. Saya doakan
sahabat-sahabat semua sihat hendaknya. Sihat tubuh badan, sihat dari segi akal
dan minda serta sihat imannya. Insha
Allah.
Pagi tadi
saya membuat pemeriksaan susulan di Klinik Kesihatan Kelana Jaya. Ya lah,
walaupun telah habis ubat yang dibeli dari farmasi, batuk yang saya alami ini
masih tidak menunjukkan prognosis
untuk pulih. Sudah tiga hari masih lagi batuk dan keadaannya masih juga teruk.
Mungkin
ramai yang tahu (dan bagi sahabat-sahabat yang tidak tahu) bahawa sebelum ini
saya mengikuti Diploma Kejururawatan di Universiti Sains Malaysia Kampus
Kesihatan, Kubang Kerian. Ilmu yang saya pelajari selama ini membuatkan saya
sentiasa inquiry tentang
penyakit-penyakit setiap kali saya demam, batuk ataupun selsema. Mungkin itu
dinamakan sebagai nursing instinct.
Saya membuat
tindakan untuk berjumpa dengan doktor kerana kerisauan saya dengan penyakit Chronic obstructive pulmonary disease (COPD)
iaitu sejenis penyakit progresif akibat saluran udara menjadi
sempit yang boleh mengancam nyawa. COPD sering dikaitkan dengan tabiat merokok
tegar, udara yang tercemar serta terdedah pada persekitaran kerja tertentu
hingga berlakunya sekatan pada laluan udara paru-paru. Situasi ini menyebabkan
pesakit tercungap-cungap akibat sesak nafas.
Seperti yang
saya telah nyatakan, antara simptom kepada COPD ini adalah tidak boleh bernafas
dengan lancar seperti biasa (breathlessness),
cepat mengalami keletihan (tiredness),
batuk (coughing) dan penghasilan
kahak (production of sputum). Keempat-empat simptom ini sememangnya ada pada
saya. Ditambahkan lagi dengan habit
saya sebagai seorang perokok tegar dan keadaan tempat kerja saya yang berdebu
kerana dalam proses pengubahsuaian membuatkan saya bertindak membuat diagnosis sendiri bahawa kemungkinan
saya mengalami COPD.
Namun Alhamdulillah, setelah melalui
konsultasi dengan doktor, akhirnya saya keluar dari bilik pemeriksaan dengan
senyuman. Bukan COPD. Hanya batuk biasa sahaja. Doktor menasihatkan saya agar
banyakkan rehat, kalau boleh kurangkan merokok dan sebaiknya berhenti terus (Insha Allah akan diusahakan) serta banyak
minum air masak bagi mengurangkan kahak.
Hajat pada
mulanya ingin balik semula ke College namun mendapat SMS daripada Marketing
Manager menasihatkan saya agar berehat sahaja dirumah dan utamakan kesihatan
dahulu dari kerja. Maka saya mengambil keputusan untuk mengisi perut di gerai
berdepan dengan Klinik Kesihatan Kelana Jaya dan Pejabat Kesihatan Daerah
Petaling. Selesai sudah saya terus menahan teksi untuk ke Masjid Tengku Kelana
Putera yang terletak di SS7 tidak berjauhan dari rumah sewa saya.
Selesai
sudah solat Jumaat, sambil berjalan kaki balik ke rumah sewa, mata ini sibuk
melayari Facebook dalam handphone. Pelbagai
ragam dan karenah manusia boleh kita jumpa dalam laman Facebook ini.
Tiba-tiba mata saya terhenti pada video ucapan Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling yang menjadi viral minggu lepas. Ya, itu lah yang ingin saya kongsikan hari ini. Dari ketika clip video tersebut disebarkan dalam laman sosial lagi saya ingin menjadikannya sebagai tajuk entry saya, namun kekangan masa membuatkan saya melupakan terus hajat saya itu.
Hari ini, saya kongsikan pula pandangan saya berkaitan isu yang cuba dipopularkan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling tersebut yang juga seorang pendakwah.
Al-Quran Mengajarkan Perubahan
ALLAH ‘Azza
wa Jalla berbicara kepada kita tentang perubahan dalam dua surat, yaitu surat
Al-‘Anfal dan Ar-Ra’d. Di dalam surat Al-Anfal ALLAH berfirman:
Demikian
itu, ialah kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang
telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada
pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH Maha mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
(Surah Al-‘Anfal:
53)
Dan di dalam
surat Ar-Ra’d ALLAH berfirman,
Sesungguhnya
ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila ALLAH menghendaki untuk
menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka
sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang
ditetapkan-NYA itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi
mereka selain daripada-NYA.
(Surah
Ar-Ra’d: 11)
Di dalam
ucapan ketua wanita UMNO bahagian Baling, antara banyak-banyak kekeliruan yang
beliau nyatakan, satu sahaja yang amat menarik minat saya iaitu perubahan artis
kea rah lebih Islamik dan berdakwah. Beliau mengatakan kebanjiran golongan artis
berhijrah dan giat berdakwah kebelakangan ini seolah menjadi trend, apabila
golongan itu tidak lagi aktif dalam dunia hiburan sehingga beliau dengan
lantang membuat penghakiman sendiri iaitu dengan memperlekehkan golongan artis
yang berhijrah ini dengan label Ustaz Express dan Ustazah Jadian.
Apa masalah dengan Senator Datuk Dr. Mashitah kita ini?
Artis Berhijrah: Bolehkah Mereka Berdakwah?
Saya yakin
ramai yang menyaksikan penghijrahan artis-artis tanahair kepada yang
lebih baik. Bukan sedikit tapi boleh dikatakan ramai. Seperti yang anda ketahui
bahawa penghijrahan mereka ini bukan sekadar memberi impak kepada masyarakat
malah kepada dunia politik di negara kita.
Oleh itu tidak
pelik dan tidak hairan kalau saya katakan ada orang yang dengki atau rasa
kurang senang kepada artis yang berhijrah ini sehingga kan penghijrahan mereka
ini menjadi topik hangat Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Saya yakin
dan percaya artis ini tidak pernah menceritakan mengenai bab hukum, mengupas
bab-bab fekah (fiqh), aqidah dan
lain-lain. Cuma mereka ini hanya menceritakan pengalaman mereka sewaktu lagha (tidak berfaedah/sia-sia) dahulu
dan bagaimana transfomasi yang mereka lakukan untuk kembali kepada fitrah
manusia yang sebenarnya.
Memang benar
ada dikalangan artis ini bukan ustaz dan ustazah tetapi bukan bermaksud mereka
tidak boleh menyampaikan dakwah. Dakwah itu pula tidak semestinya menceritakan
bab-bab hukum fiqh sahaja. Sedangkan
konsep dakwah itu sendiri adalah luas. Jangan disempitkan. Yang paling penting
dakwah itu bukan khusus kepada para alim ulama' sahaja. Ya, memang benar dari
sudut mengupas hukum dan mengeluarkan fatwa perlu ada orang yang ada authority
tentang hal tersebut.
Dalam bab
menyampaikan dakwah bukan perkara tentang hukum, orang awam dan sesiapa sahaja
perlu menyampaikan dakwah ini.
Contohnya
menutup aurat itu wajib kemudian kita menyampaikan kepada saudara dan para
sahabat kita. Adakah dakwah seperti ini tidak dibenarkan?
Bab menghina,
mencaci maki para ulama' adalah satu perbuatan mengkhianati agama dan
merosakkan sistem ISLAM itu sendiri. Kita menghalang orang yang menghina
tersebut supaya mereka tidak menghina lagi dan mengatakan perbuatan itu
merupakan salah disisi agama. Tidakkah ianya dikategorikan sebagai
berdakwah juga?
Menyampaikan
dengan pemahaman daripada ilmu yang kita belajar adalah merupakan fardhu kifayah. Oleh sebab itu Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda:
"Sampaikanlah dariku walau satu ayat". (HR Bukhari)
Apa yang
anda faham tentang hadith berkenaan?
Adakah kita dengan sesuka hatinya boleh menyampaikan apa sahaja yang kita
dengar kepada orang ramai? Maka disini saya ingin menyatakan bahawa menyampaikan
sesuatu ilmu perlukan pemahaman terlebih dahulu dan beramal dengannya dengan
baik dan mantap.
Kemudian
sampaikanlah kepada mereka yang berkenaan agar mereka kembali ke jalan fitrah-NYA.
Pemahaman itu perlu untuk mengelakkan kekeliruan. Bagi saya ilmu asas agama
iaitu soal aurat, solat, puasa dan rukun agama yang biasa kita dengar dari alim
ulama', saya yakin semua umat ISLAM pasti mengetahuinya.
Jadi tujuan
dakwah yang dilakukan adalah untuk mengingatkan kembali kepada mereka yang
sudah lupa atau buat-buat lupa. Proses ini mesti berterusan dan tersambung
sehingga sampai ke seluruh umat ISLAM. Oleh kerana itu dakwah perlu bagi setiap
umat ISLAM tanpa ada alasan yang lainnya.
Bagi mereka
yang mungkin berpendirian bahawa seseorang itu tidak layak berdakwah ataupun
baru sahaja berubah dan sesungguhnya tidak layak untuk berdakwah, itu hanyalah
pemahaman yang tidak betul. Sudah tentu yang berubah itu ada ilmu yang mereka
pelajari sehingga menjadikan mereka insaf dan berubah keseluruhannya. Jadi
tidak salah sekiranya berkongsi ilmu apa yang mereka belajar moga menjadi
ikutan orang ramai kepada perubahan tersebut.
Impaknya
cukup besar apabila dikalangan mereka adalah artis yang mempunyai fan base yang ramai. Dengan ikutan peminat
yang ramai itu pasti merubah walau tidak banyak tetapi beri kesan yang baik
untuk jangka masa panjang. Jadi, kenapa kita perlu menghalang mereka?
Satu
Penghijrahan Seribu Pujian
Berlainan dengan penceramah bebas Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (seorang pendakwah wanita tanahair yang amat saya kagumi) menyifatkan penghijrahan yang dilakukan artis-artis itu patut diberi pujian serta sokongan agar mereka dapat memainkan peranan menyampaikan dakwah kepada setiap lapisan masyarakat. Transformasi ini merupakan perkembangan sihat serta satu langkah yang diambil tepat pada masanya demi kebaikan semua pihak. Ini kerana sudah menjadi fitrah kita sebagai hamba ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala apabila kita mendapat hidayah, kita mahu berkongsi ilmu yang kita peroleh dengan orang lain sebagai langkah mengajak bersama-sama ke arah kebaikan.
Beliau turut
menasihati para artis itu supaya berhijrah dengan melakukan dakwah seikhlas
hati tanpa mengharapkan gelaran, pujian atau mencari publisiti semata-mata. Katanya
setiap penghijrahan ke arah kebaikan dijanjikan keampunan daripada ALLAH atas
dosa-dosa lampau asalkan niat kita ikhlas dan sentiasa beristiqamah (tetap dan
berperaturan).
Justeru itu, beliau memuji tindakan artis-artis berkenaan dan mengharapkan mereka akan menjadi contoh kepada artis lain serta golongan muda kerana mereka adalah icon yang sentiasa menjadi ikutan dan mampu berdakwah dengan cara mereka tersendiri.
Justeru itu, beliau memuji tindakan artis-artis berkenaan dan mengharapkan mereka akan menjadi contoh kepada artis lain serta golongan muda kerana mereka adalah icon yang sentiasa menjadi ikutan dan mampu berdakwah dengan cara mereka tersendiri.
Sampaikan
Ilmu Walau Sepotong Ayat
Turut berkongsi pendapat ini, penceramah bebas yang juga suami kepada Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid. Beliau berkata dalam Islam tiada halangan atau batasan untuk berdakwah kerana semua manusia adalah khalifah (pemimpin) ALLAH.
Semua kita
mempunyai peranan masing-masing dalam usaha berdakwah untuk memperbaiki ummah
dan seseorang itu tidak perlu betul-betul sempurna jika mahu menyampaikan
dakwah bersesuaian lah dengan sabda Rasulullah Sallallahu
Alayhi Wasallam iaitu sampaikanlah pesananku walaupun satu
ayat. Ini kerana jika kita tunggu betul-betul sempurna baru hendak berdakwah,
maka Islam akan lambat berkembang cuma apa yang perlu adalah ilmu yang
disampaikan mestilah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah (hadith).
Satu kaji
selidik yang dijalankan di sebuah universiti di Kuala Lumpur, hampir 60% golongan
muda khususnya generasi Y menjadikan artis sebagai icon dan ia merupakan pendekatan yang paling efektif untuk para
artis itu menyampaikan dakwah mereka.
Usaha berdakwah oleh golongan artis ini harus diteruskan kerana ilmu yang dikongsi tidak akan luak malah ia akan terus berkembang serta mendapat keberkatan daripada ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Menyampaikan ilmu kepada orang lain bukanlah satu perkara yang sia-sia kerana ilmu itu akan bertambah jika kita amalkan serta sebarkan malah ilmu ini tiada had seumpama tujuh lautan luasnya.
Usaha berdakwah oleh golongan artis ini harus diteruskan kerana ilmu yang dikongsi tidak akan luak malah ia akan terus berkembang serta mendapat keberkatan daripada ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Menyampaikan ilmu kepada orang lain bukanlah satu perkara yang sia-sia kerana ilmu itu akan bertambah jika kita amalkan serta sebarkan malah ilmu ini tiada had seumpama tujuh lautan luasnya.
Lima Prinsip Jadi Pegangangan
Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah juga pernah menerangkan bahawa lima prinsip utama yang boleh dijadikan pegangan oleh artis yang berhijrah semasa berdakwah adalah (1) ikhlas, (2) istiqamah, (3) ikutan, (4) indah dan (5) ilmu.
Apabila
hendak berhijrah, hati mesti ikhlas agar timbul istiqamah yang akan mengukuhkan
lagi penghijrahan itu dan ia akan memudahkan mereka menarik peminat mereka
untuk turut sama melangkah ke arah yang lebih baik.
Setelah
hijrah itu menjadi ikutan, maka akan timbul pula keindahan dalam berdakwah
apabila ajaran agama yang diamal dan disampaikan itu memberi kesan dalam diri
sendiri yang seterusnya ilmu yang dipelajari dipraktik oleh masyarakat.
Imam Hassan
Al-Banna menyebut, “Baiki diri kamu, dan pada masa yang sama, dakwah orang lain”.
Saya sendiri pun belum sempurna, namun saya berusaha berkongsi sedikit ilmu
yang lebih yang dimiliki. Contoh mudah untuk kita berfikir – jika
tangan kita kotor, adakah kita tak boleh basuh pinggan yang kotor?
Tentulah boleh kerana dengan itu pinggan bersih, tangan pun bersih.
Oleh itu
sekiranya mereka (golongan artis yang berhijrah) berjuang untuk mempertahankan
dan mendaulahkan ISLAM, kita sebagai umat ISLAM sudah tentu wajib menyokongnya.
Kalau bukan kita, siapa lagi?
Namun apa
yang amat menyedihkan saya ialah perubahan yang dilakukan oleh Senator Datuk
Dr. Mashitah Ibrahim. Daripada dahulunya terkenal sebagai seorang pendakwah
yang lemah lembut tutur katanya, bertudung labuh, menampilkan ciri-ciri
Muslimah yang menjadi ikutan ramai anak-anak muda telah sekelip mata berubah
menjadi seorang yang modern, mengikut
trend semasa, tudung ala-ala free dada
(Fareeda), kening diolah cantik, bersolek dan mula mengenakan busana yang
menampakan susuk tubuh wanita. Astaghfirullahal'adzim, alladzi la ilaha illa huwal
hayyul qoyyumu wa atubu ilaih. Percakapan beliau menjadi semakin sombong,
berbunyi seakan riak dan lantang menemplak serta memperlekehkan orang lain.
Adakah itu yang diajar oleh Islam selama ini, wahai Senator Datuk Dr. Mashitah?
Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda bermaksud: “Perbaikilah akhlak (budi pekerti)
kamu sekalian.”
Imam Ghazali
menyebut dalam Ihya’ ulumiddin: “Bagaimana
kita boleh menolak perubahan akhlak dan kelakuan pada manusia. Perubahan juga
boleh berlaku pada binatang. Bukankah burung helang yang asal sifatnya liar itu
boleh dijinakkan? Begitu juga dengan kuda yang degil dan menentang sifatnya,
dapat dijinakkan menjadi patuh serta menurut. Semua itu adalah perubahan dalam
akhlak dan sikap.”
Orang yang menyatakan akhlak atau sikap tidak mungkin boleh berubah, maka kita tanya kepadanya: “Sekiranya akhlak dan kelakuan itu tidak mungkin untuk berubah, maka sudah tentulah tidak ada gunanya peringatan yang kita dituntut untuk menyampaikannya, atau nasihat-menasihati antara satu sama lain, ataupun pendidikan.”
Hakikat budi
pekerti itu adalah perilaku (hal dan keadaan) yang meresap dalam jiwa
seseorang. Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan dengan perasaan senang
dan mudah, tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan. Jika yang terbit
daripada perilaku itu perbuatan elok dan terpuji menurut ukuran akal mahupun
syarak, maka perilaku ini dinamakan budi pekerti yang baik. Sebaliknya, jika
yang terbit adalah perbuatan jahat, maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya
segala perbuatan jahat itu dinamakan budi pekerti yang jahat.
Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya
orang yang terdekat kepadaku di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.”
Sudah
sepatutnya orang yang beriman dengan Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersemangat untuk menghiasi dirinya dengan semua
bentuk akhlak mulia. Sehingga Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam mencintainya dan dekat dengannya di akhirat kerana
sikap dan kelakuannya mengikut apa yang Baginda perintah.
Dalam hadis
lain, Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku cintai di
antara sekalian kamu dan paling dekat kedudukannya kepadaku di akhirat adalah
mereka yang terbaik akhlaknya. Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku
dan terjauh dariku di akhirat iaitu mereka yang terburuk akhlaknya. Mereka
itulah ‘Tsarsarun’, ‘Mutafaihiqun’ dan ‘Mutasyaddiqun’.”
Maksud Tsarsarun ialah orang yang banyak cakap,
mutafaihiqun ialah orang yang sombong
dan mutasyaddiqun ialah mereka yang
cakap tanpa berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam dan ingin dekat dengannya di akhirat, hendaklah ia
memperbaiki perangainya dan bersungguh-sungguh hingga tercapai cita-citanya.
Janganlah Kita Memiliki Sifat Munafik
Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam yang
bermaksud :
“Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.”
(HR al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)
Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa terdapat empat ciri-ciri munafik dari segi perbuatan dan amalan (melakukan dosa besar) , sifat yang sangat dibenci oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala.
- Khianat amanah iaitu mencabul dan mengkhianati amanah-amanah yang wajib dipelihara dan meremeh-temehkan amanah yang diberikan padanya atau tidak menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya yang diserahkan padanya, kerja dengan sambil lewa dan ia gunakan amanah yang diberikan kepadanya untuk mendapatkan kepentingan diri dan keluarganya.
- Bercakap bohong. Membuat penjelasan, kenyataan dan penerangan yang dusta atau seakan-akan dusta samada dengan lisan atau tulisan, memutar belit dan memesongkan keterangan yang sebenar, mengubah dan menokok tambah kenyataan untuk disesuaikan dengan seleranya, membuat kempen-kempen atau promosi-promosi dusta dan propaganda liar dan segala bentuk penyelewengan kata-kata dan bicara termasuk membesarkan yang kecil dan memperkecilkan yang besar.
- Mencabul janji-janji yang diikrarkan dan mencabul perjanjian yang dipersetujui bersama.
- Ingin menang dalam pertengkaran walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah atau terpaksa membawa saksi yang palsu bagi menguatkan hujahnya.
Jika dalam hati kita bersarang perasaan hasad
dengki, ada perasaan benci pada pendakwah ISLAM, benci pada pakaian menutup
aurat dan sering menfitnah para daie yang berjuang menegakkan Islam ini
bermakna dalam hati kita masih bersarang sifat nifak atau munafik. Sifat inilah
yang akan menjauhkan kita daripada rahmat ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Oleh itu sama-samalah kita perbaiki hati
dengan mendekatkan diri dengan majlis ilmu, bersahabat dengan orang soleh dan
menjauhkan diri daripada orang-orang yang suka melakukan maksiat.
Wallahu a'lam bish-shawabi.
Nota Kaki: Firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka." (Surah An-Nisaa: 145)