Memaparkan catatan dengan label Kisah Muallaf. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Muallaf. Papar semua catatan

Jumaat, 31 Oktober 2014

Muallaf: Hubungan Dengan Keluarga Selepas Memeluk Islam


Bismillah wa hamdan syukran lillah.

Allahumma solli ala sayyidina Muhammmad wa ala alihi wa sohbihi ajma'in.

Bismillahirahmanirahim, Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
 
Setinggi-tinggi rasa syukur diri ini abdikan kepada Maha Pencipta kerana nikmat yang tidak terhingga ini iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman. Alhamdulillah, alhamdulillah waalhamdulillah, tiada lafaz yang lebih indah dari ucapan syukur kepada ILLAHI kerana nikmat yang tidak terhitung ini.
 
Apa khabar sahabat-sahabat yang dikasihi kerana ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala? Saya doakan sahabat-sahabat semua sihat hendaknya, sihat badan dan juga sihat iman. Alhamdulillah, pada malam ini sekali lagi saya diberi peluang untuk menyumbang satu lagi entry buat bacaan sahabat-sahabat yang terkasih. 

Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk yang diri ini baik atau diri ini alim. Namun segala entry yang saya postkan selama-lama ini dan yang bakal dipostkan di kemudian hari adalah kerana saya yakin kepada janji ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala
 
Kita sebagai manusia, kadang-kadang lupa tanggungjawab kita yang diangkat oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala sebagai khalifah mentadbir bumi. Dan ketika di dalam kesenangan, kita sebagai manusia dengan angkuhnya kita lupa dan bersifat sombong kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, sehinggalah DIA mendatangkan ujian kepada kita barulah kita akan tersentak dari khayalan duniawi ciptaan sendiri serta menyesal dan tersungkur ke bumi merayu memohon keampunan-NYA. Tidak kah kita rasa sudah terlewat untuk itu, sedangkan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala telah berikan kita banyak waktu dan peluang untuk terus mendekati-NYA. 

Oleh itu apa yang saya kongsikan buat semua sahabat bukan untuk menunjuk diri ini baik, bukan untuk menunjuk diri ini alim dan bukan juga kerana riak tetapi setiap perkongsian saya adalah untuk menyatakan betapa tinggi dan rahmatnya anugerah ALLAH sekiranya kita sentiasa yakin dan percayakan janji ALLAH. 

Hubungan Diantara Muallaf dan Keluarga Setelah Memeluk Islam

Entry saya pada malam ini sangat straight to the point dan mudah untuk difahami. Saya percaya apa yang saya kongsikan ini pernah dialami oleh sahabat-sahabat muallaf di luar sana. Dan kini giliran saya menghadapinya. Namun itulah lumrah perjuangan dan pengorbanan yang perlu diterima tika mencari nikmat kelazatan iman, nikmat cinta sejati, nikmat sebuah keberkatan hakiki demi ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Saya yakin ramai mereka diluar sana yang ingin memeluk agama Islam mengalami dilema ini (termasuk diri saya sendiri sebelum ini). Satu demi satu persoalan timbul dalam diri masing-masing yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan dengan keluarga yang bukan Islam selepas memeluk Islam nanti. 

Antara soalan yang lazim menjadi kemusykilan mereka adalah:

1. Pergaulan dengan keluarga yang bukan Islam.
2. Makan bersama keluarga bukan Islam sekiranya duduk bersama.
3. Mengerjakan solat sekiranya masih duduk bersama keluarga bukan Islam.

Mengapa harus kita bebani hati kita dengan segala persoalan yang sudah pasti ada jawapannya.  Islam itu agama yang mudah. 


عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الدِّيْنَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّيْنَ اَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوْا وَقَارِبُوْا، وَأَبْشِرُوْا، وَاسْتَعِيْنُوْا، بِالْغُدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلَجَةِ
 
Daripada Abi Hurairah Radiallahu anhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Agama (Islam) itu adalah mudah, dan tidaklah sekali-kali seseorang itu memperberat-beratkan agama melainkan dia (agama itu) akan mengalahkannya. Oleh sebab itu tepatilah oleh kamu, dan hampirlah, dan gembiralah kamu (dengan berita itu). Dan memohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi, dan petang, dan sedikit daripada waktu malam.
(HR Bukhari dan Muslim)
 
 ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 185:
 
يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
 
ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan IA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. 
(Surah Al-Baqarah: 185)
 
Dalam surah yang lain ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
 
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
 
Maka bertaqwalah kepada ALLAH mengikut kemampuanmu.
(Surah At-Taghabun: 16)
 
  
Pergaulan Dengan Keluarga Bukan Islam

Islam tidak menghalang orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk terus berhubungan dan bersilaturrahim dengan keluarganya yang bukan Islam. Malah di dalam al-Quran, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala memerintahkan seorang muslim untuk tetap melayani dengan baik ibu-bapanya yang bukan Islam walaupun mereka pernah mengajaknya untuk mensyirikkan ALLAH (yakni kembali kepada agama asal). Firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala:
 


 
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKU sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKU (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada AKUlah tempat kembali kamu semuanya, maka AKU akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
(Surah Luqman: 15)
 
Dalam ayat di atas, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala melarang seorang yang telah Islam untuk memenuhi desakan ibu-bapanya yang masih kafir untuk mensyirikkan ALLAH (kembali kepada kekufuran), namun dalam pada itu ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tetap memerintahkan agar ia bergaul dengan mereka di dunia secara baik. Berkata Imam al-Qurthubi – mengulas ayat di atas; “Ayat ini menjadi dalil kepada tuntutan supaya mengikat hubungan dengan dua ibu-bapa yang kafir termasuk menafkahi mereka – mengikut yang terdaya - jika mereka miskin, bercakap lembut dengan mereka dan mengajak mereka kepada Islam dengan bahasa yang manis” (Tafsir al-Qurthubi, surah Luqman ayat 15).

Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’) bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab; “Ikatlah hubungan dengannya”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)
 
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tetap mengikat hubungan dengan bapa saudaranya (Abu Talib) walaupun beliau (Abu Talib) tidak memeluk Islam. 
 
 
Makan Bersama Keluarga Bukan Islam
 
Mengenai makan pula harus makan bersama keluarga yang tidak Islam, malah harus makan makanan yang dimasak/dihidangkan oleh orang bukan Islam, namun hendaklah dipastikan makanan itu adalah halal dan tidak bercampur dengan sebarang bahan yang haram. Terdapat hadis menceritakan; Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menerima makanan yang dihadiahkan oleh orang bukan Islam (Yahudi) dan baginda serta sahabatnya makan daging kambing yang dihadiahkan oleh seorang perempuan Yahudi.

Interaksi yang baik oleh seorang muslim baru dengan keluarganya yang bukan Islam boleh menjadi contoh bagi mereka untuk menilai kebaikan ajaran Islam dan mendorong mereka untuk turut sama memeluk Islam. 
 
Oleh itu, walaupun bertukar agama sekalipun, ikatan darah itu masih lagi ada. Bak kata pepatah Melayu, "air dicincang tidak akan putus", begitu juga lah hubungan kita dengan keluarga kita walaupun mereka bukan Islam. 
 
Alhamdulillah, meskipun pada awalnya saya mendapat tentangan dari ahli keluaga, namun kini mereka mampu menerima saya sedikit demi sedikit. Mungkin ahli keluarga saya telah melihat perubahan ke arah kebaikan wujud dalam diri saya setelah mengucapkan dua kalimah syahadah "AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU ADALAH PESURUH ALLAH." Inilah janji ALLAH untuk saya.

Akhir kalam, ingatlah walaupun kita telah memeluk Islam namun jangan sesekali kita memutuskan perhubungan kekeluargaan terutama sekali melupakan kedua ibu bapa kita. Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat kedua selepas mentaati ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. Justeru ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala mewajibkan anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan kepercayaan dan pegangan agama.  Bersandarkan firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala
 




Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Surah Luqman: 14)
 
 
 Bagaimana Kita Boleh Memuliakan Ibu Bapa Kita?
 







 Wallahu a'lam bish-shawabi.

Nota Kaki: Appreciate who loves you and cares for you. You'll never know how much they mean to you until the day they are no longer beside you.

Ahad, 26 Oktober 2014

Kenapa ini Jalan Yang Saya Pilih? Memilih Masjid Dan Meninggalkan Salib


Segala pujian hanya bagi ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, TUHAN semesta alam yang telah melengkapkan agama kepada kita dan menyempurnakan nikmat-NYA kepada kita.  Kepada-NYA sahaja pujian yang banyak dan kepada-NYA juga ucapan syukur di waktu pagi dan petang. Selawat dan salam kepada junjungan nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, keluarga dan para sahabatnya serta orang yang menyeru dengan dakwahnya sehingga hari Kiamat.

Sudah pasti sehingga ke hari ini ramai yang tertanya-tanya mengapa saya boleh bertindak untuk memilih dan memeluk agama Islam? Mengapa saya tidak terus untuk menjadi seorang penganut agama Kristian Katolik? Mengapa saya mendahulukan Islam berbanding agama lain? 

Pelbagai jenis soalan dan pertanyaan yang diajukan kepada saya tidak kira secara live, melalui SMS, face-to-face dan tidak kurang secara private inbox ke laman Facebook saya untuk mendapatkan kepastian. Saya juga tahu ada di antara sahabat-sahabat saya yang mungkin sehingga ke hari ini masih memendam dan menyimpan soalan yang ingin mereka tanyakan kepada saya berkaitan penghijrahan saya ini.

Jawapan saya amat mudah. YA, saya memeluk dan memilih agama Islam. Saya seorang Muslim, saya seorang muallaf. Mengapa harus Islam? Kerana Islam adalah agama Rahmatan Lil'Alamin iaitu agama yang benar sebagaimana firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran, Surah Ali-'Imraan ayat 19:


Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi ALLAH ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH amat segera hitungan hisab-NYA.
(Surah Ali-'Imraan: 19)


Mustahil hanya disebabkan itu sahaja maka saya boleh bertindak sejauh ini untuk memeluk agama Islam dan menolak agama Kristian Katolik yang telah saya anuti semenjak kanak-kanak lagi. 

Mesti disebabkan hasutan sahabat-sahabat saya yang beragama Islam, kan?

Atau, mesti saya telah jatuh cinta dan ingin mengahwini gadis yang beragama Islam?

Mengapa harus beranggapan senegatif itu? Tiada sesiapa yang menghasut atau menjadi pendorong kepada saya untuk memeluk Islam. Dan saya masih lagi single and available, maksudnya bukan kerana saya telah jatuh cinta dan bercadang untuk mengahwini seorang gadis Islam maka saya bertindak menukar agama saya.

Saya memeluk Islam dengan sukarela tanpa paksaan. 

Memeluk Islam kerana saya telah jatuh cinta dengan agama ini, dan ingin mencari cinta ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala yang sejati agar diri ini, iman ini dan hati ini dipenuhi dengan cinta kasih-NYA sahaja agar diri ini tenang sehingga DIA menjemput untuk kembali kepada-NYA.
 
"Mengapa kamu nak peluk agama Islam sedangkan ramai orang Islam, orang Melayu dekat luar sana sudah hilang Islam mereka dan tersasar daripada ajaran agama mereka.  Cuba kamu pergi pub-pub dekat KL tu, ramai sungguh orang Islam tengah bergoyang-goyang dan minum air arak yang mereka panggil kencing syaitan. Belum kamu kira lagi yang naik turun hotel angkut perempuan, ikut laki buat maksiat."

"Ini maksudnya agama Islam itu agama salah, tak mampu nak ajar penganut mereka. Kamu pula terlebih-lebih mahu peluk Islam!"

Itu adalah antara kritikan pedas dan pedih yang pernah saya terima ketika mula memeluk agama Islam.

Ya, saya akui sendiri sememangnya tidak dinafikan ada diantara kita yang beragama Islam telah jauh terpesong dari ajaran-NYA sehingga ada yang tidak mampu lagi untuk membezakan antara dosa dan pahala, yang baik dan yang buruk (astaghfirullah hal'azim al lazi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih).

Ramai diantara orang Islam hari ini bergelar seorang Islam hanya sekadar warisan. Kemanisan yang ada pada Islam tidak pernah mereka dapat rasai. Hanya mereka yang berjuang dengan sukar untuk mendapatkannya seperti diri saya ini, merasakan Islam itu begitu indah dalam diri saya. 

Dan kini kepada mereka yang melemparkan kritikan sebegitu kepada saya, ini jawapan yang akan saya berikan. 

"Muslim dan Islam adalah berbeza. Terlalu jauh ketara perbezaannya. Muslim itu orang Islam yang mewarisi Islam dan diajarkan dengan ajaran agama Islam tetapi tidak semestinya mereka semua mengamal apa yang mereka pelajari. Walhal Islam itu pula adalah satu ajaran. Oleh itu saya memilih Islam kerana saya ingin belajar dan terus belajar. Belajar untuk menjadi insan yang terbaik pada pandangan-NYA."

Tidak kurang juga ada sesetengah daripada sahabat saya seperti memberikan satu 'ugutan' kepada saya. 

"Islam itu mudah, tetapi kamu jangan ambil mudah sangat. Nanti nampak buruk Islam itu jadinya."

Itu juga antara komen yang pernah saya terima di Facebook saya sendiri. Saya hairan.

Perkataan 'mudah' itu tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan saya, apatah lagi berkaitan dengan ajaran agama. Sebagai seorang yang tidak mewarisi agama Islam dari lahir, dan memilih untuk memeluk agama Islam secara sukarela tanpa paksaan dan bukan kerana ingin kahwin, sudah semestinya perkataan 'ambil mudah' itu tidak pernah wujud. 

Ibarat seorang bayi yang baru lahir, saya perlu belajar untuk meniarap, merangkak, mengangkat kepala, berjalan dan seterusnya berlari. Terlalu banyak lagi ruang yang perlu saya explore dan terlalu banyak lagi ilmu yang saya perlu pelajari dan perbaiki. Namun saya tahu bahawa dalam kesusahan dan kepayahan saya mendalami agama Islam ini, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala sentiasa bersama dengan saya, membimbing dan memimpin saya. Sebagaimana firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 286:


ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dan berkata): "Wahai TUHAN kami! Janganlah ENGKAU mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai TUHAN kami! janganlah ENGKAU bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah ENGKAU bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai TUHAN kami! Janganlah ENGKAU pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami, dan beri Penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Al-Baqarah: 286)

Dalam ayat lain ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:


Dan berjihadlah kamu pada jalan ALLAH dengan jihad yang sebenar-benarnya DIA lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan IA tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. IA menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada ALLAH! DIA lah Pelindung kamu. Maka (ALLAH yang demikian sifatNya) DIA lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. 
(Al-Hajj: 78)

 
Dari Abu Hurairah r.a, bahwa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya agama itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agama melainkan ia akan dikalahkan. Oleh kerana itu kerjakanlah dalam kadar semestinya, atau mendekati dengan kadar semestinya dan bergembiralah (dengan pahala ALLAH) dan mohonlah pertolongan di waktu pagi, petang dan sebahagaian malam”
 (HR Bukhari no.39)

Islam itu mudah bukan dengan tinggal perkara yang telah disuruh kepada manusia tunaikan kerana kebanyakan perkara di atas dunia ini perlukan bayaran. Maka, bayaran untuk syurga itu terlebihlah mahalnya untuk kita menganggap mudah akan agama (dalam erti kata berehat-rehat) bagi mencapai nikmat di akhir sana.

Adapun sifat mudah Islam itu bukan suatu perkara yang asing tetapi perlu difahami secara jelas dan dilihat dalam skop islam secara keseluruhan yang mana terkesan dalam kehidupan insan.

Inilah karakter sebenar Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai oleh ALLAH yang diturunkan dalam keadaan yang sempurna kepada umat akhir zaman. Dan inilah faktor mengapa saya memilih untuk memeluk Islam. 


Sahabat-sahabat sekalian,

Saya seorang muslim kerana Islamlah yang benar. Islam yang memuliakan saya sebagai manusia, memelihara hak saya sebagai manusia, melarang saya sebagai manusia menindas satu sama lain. Islam yang menjadikan hidup sebagai suatu kehidupan yang penuh kemuliaan, yang tidak berlaku penindasan satu bangsa kepada bangsa yang lain dan satu kumpulan kepada kumpulan yang lain.

Inilah Islam. Inilah hakikat Islam bagi orang yang memerhatikannya dengan ilmu pasti mendapati ianya benar tanpa sedikitpun keraguan padanya. Thomas Carl seorang Orientalis berbangsa Inggeris pada kurun ke 19 yang membenarkan hal ini pernah berkata: 
 
“Saya dengan penuh yakin bahawa Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam bukan datang dengan dakwaan yang palsu, tetapi ajarannya adalah ajaran yang benar."
 
Beliau menyatakan untuk membuktikan hal ini; “Satu kaum yang jauh terasing lagi jahil di tengah padang pasir, beliau mampu membuatkan mereka menjadi satu bangsa atau umat yang bertamadun dan maju. Bukankah ini sudah cukup membuktikan bahawa agamanya ialah agama yang maju, membangun dan bertamadun”. 
 
Bahkan Bernard Shaw juga seorang orientalis berbangsa Inggeris pernah berkata: “Jika tidak kerana Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam datang dengan membawa agama sudah tentu akhlak manusia tidak akan menjadi baik padahal manusia sangat memerlukan agama ini”.    

Beliau turut berkata: “Seandainya Muhammad masih hidup pada zaman kita ini tentulah segala permasalahan dunia akan selesai sedang ia meminum secawan kopi”.   
 
Inilah sebab saya memilih agama Islam. 
 
Saya sentiasa berdoa kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala agar memberi taufik kepada saya dan menolong saya di atas agama-NYA dan menjadikan saya, insha Allah antara seorang para pendakwah kepada agama-NYA dan pembimbing kepada hidayah-NYA. Sesungguhnya ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala yang menentukan segala sesuatu.
 
Wallahu a'lam bish-shawabi.
 
 

Nota Kaki: Insha Allah pada entri yang seterusnya saya akan ceritakan kronologi bagaimana saya boleh memeluk Islam dan apa yang berlaku setelah saya memeluk Islam. Adakah saya ditentang oleh ahli keluarga saya sendiri?