Isnin, 10 November 2014

Hakikat Kehidupan


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Innalhamdalillahi nahmaduhu wanasta’iinuhu wanastaghfiruhu
Wana’udzubiillah minsyurruri ‘anfusinaa waminsayyi’ati ‘amaalinnaa
Man yahdi hillah falah mudhi llalah
Wa man yudhlil falaa haadiyalah
wa-asy-hadu allaa ilaaha illallaahu wah-dahu laa syariikalah
wa-asy-hadu anna muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh.
 

Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala kerana sekali lagi saya diberikan peluang untuk terus menyumbangkan entri di dalam blog saya ini sebagai perkongsian ilmu kita bersama seperti yang telah saya janjikan kelmarin.

Namun pada malam ini kesihatan saya kurang sedikit, batuk disebabkan oleh renovation tengah berjalan di Kolej tempat saya berkhidmat. Saban hari sememangnya saya akan menyedut debu-debu dan habuk hasil dari renovation tersebut. 

Tapi sahabat-sahabat semua jangan risau, saya baru sahaja mengambil ubat batuk dan selsema agar keadaan masalah kesihatan saya ini tidak melarat. Doakan agar saya cepat sembuh ya?

Sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala,

Apa yang terbayang di minda apabila menyebut tentang HIDUP? Maka, saya akan menjawab, saya membayangkan ujian dan cubaan. Ujian yang datang bersilih ganti dengan kebahagian yang ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala telah tetapkan, Di sebalik ujian, pasti ada kebahagiaan yang menanti. Di sebalik kebahagian pula, pasti DIA sediakan ujian buat kita.

Itu sunnatullah.

Manusia, tiada pilihan kecuali berhadapan dan menerima apa jua yang ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala telah tetapkan. Ini kerana kita tidak akan pernah dapat melarikan diri daripada berhadapan dengan segala ujian yang DIA berikan.

Cuba menghindari masalah dengan membunuh diri? Itu perbuatan manusia yang hilang akal! Hakikatnya, apabila seseorang membunuh diri, maka dia telah mengundang murka ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dan masalah lain pula menantinya; seksaan di alam barzakh.

Dunia ini menjanjikan cubaan demi cubaan untuk bayaran sebuah kebahagiaan.


Jangan Hanya Membuka Mata, Tetapi Hati Juga





Dan KAMI pasti akan uji kamu dengan sedikit rasa takut, rasa lapar, kekurangan harta, kekurangan nyawa dan kekurangan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.
(Surah Al- Baqarah: 155)

ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala memang telah menjanjikan dan menetapkan ujian buat kita!

Jika direnung-renung kitaran hidup seharian, memang tiada yang terlepas daripada ujian-NYA, sama ada kita menyedarinya atau tidak. Semuanya datang silih berganti Kita akan diuji dengan masa lapang, masa sempit, gembira dan sedih, sakit dan sihat serta pada setiap pertemuan dengan manusia lain.

Ada manusia yang diuji - hari ini tidak dapat menjamah apa-apa. Esok pula hanya dapat menelan nasi yang sedikit. Tidak dapat membeli apa yang diinginkan lantaran ujian kemiskinan. Sedih, kan?

Tetapi, ada suatu kepastian yang sangat pasti! Setiap ujian itu baik kesenangan atau kesusahan, pasti tidak kekal. Setiap satunya ada sifat pasang dan surutnya. Ujian-ujian tersebut akan menyapa kehidupan hamba untuk tempoh waktu yang ditentukan, lalu digantikan dengan sesuatu yang sesuai menurut kehendak-NYA.

Apa yang penting, haruslah sabar dalam berusaha!


Bersusah Di Dunia, Bersenang Di Syurga Selamanya



Kita semua tahu hakikat hidup di dunia ini sementara cuma. Apa yang kekal hanya negeri akhirat sana. Kita semua beriman tentang pekara itu, kan?

Ada sebuah hadis yang sangat terkesan di hati;

Seseorang muslim akan tetap diberi cubaan, sehingga dia berjalan di muka bumi in tanpa dosa sedikit pun.
(HR Al Bukhari)

Masyaallah!

Betullah. Ujian itu adalah pengguguran dosa kita. Subhanallah!

Pernah tidak terfikir, kita beribadat di dunia ini memang untuk bekalan di akhiran, kan? Bekalan untuk menyeamatkan diri di antara dua gerbang yang memisahkan kenikmatan dan kesengsaraan.

Tapi pernah tidak kita cuba kerah diri dan tanam dalam minda bahawa di dunia ini kita beriman, beramal serta beribadat dengan bersungguh-sungguh untuk meraih pandangan rahmat ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. Tinggal di dunia itu hanya sementara, bukan?

Manakala di akhirat sana, manusia yang beruntung akan tinggal di dalam syurga untuk selama-lamanya! Padahal manusia di dunia bersusah payah mendidik dan memaksa diri hanyalah untuk sementara. Masyaallah!

Besar sungguh sebuah bayaran di akhirat untuk ujian yang tidak kekal di dunia!

Ganjaran yang mahal itu hanyalah jika kita tetap sabar berada dalam kejernihan Islam dan tidak terbawa-bawa dengan budaya yang kurang mempamerkan akhlak Islami. Itu sahaja.

Ingat! Jika kita seorang Muslim, maka kita harus menjadi Muslim dari sudut akidah, akhlak dan juga pertuturan; lisan mahupun taipan tangan!


Lihat Dunia Ini Dengan Penuh Hikmah



Tatkala disapa ujian, perkara asas yang sangat perlu diterapkan dalam diri adalah bersangka baik dengan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala yang memberikan ujian tersebut Jangan sesekali bersangka buruk terhadap-NYA. Jika tidak, buruklah hidup di dunia.

Hamba-hamba yang beriman akan menerima dengan redha percaturan takdir-NYA. Dalam masa yang saa, tidak ditinggalkan usaha, doa dan tawakal untuk menyelesaikan ujian yang DIA datangkan!

Ujian, musibah, dugaan mahupun kesenangan yang diberikan harus diterima dengan hati yang terbuka dan sentiasa bersangka baik. Tidak dinafikan, dugaan itu memang perit adakalanya Tetapi boleh jadi ia harga sebagai pembuka pintu kepada keampunan dan rahmat daripada Tuan Punya Dunia.

Tanam dalam minda bahawa ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala masih sayang kita dan tetap sayang kita!

Wallahu a'lam bish-shawabi.

Nota Kaki: Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). - Surah Al-'Ankabut, ayat 46

Tiada ulasan:

Catat Ulasan