Rabu, 12 November 2014

Kelam Jiwa Seorang Pendosa


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera buat para pembaca sahabat-sahabat yang amat saya kasihi kerana ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala masih memberikan diri ini peluang untuk berkongsi ilmu dan menyumbangkan entri dalam blog saya ini untuk pembacaan sahabat-sahabat sekalian. Syukur kepada-MU ALLAH kerana masih memberikan diri ini peluang nikmat untuk bernafas dan memperbaiki diri lagi. 

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, nikmat ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tidak terhitung banyaknya. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga dan para sahabat baginda. 

Sahabat-sahabat sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin memohon ampun dan maaf diatas kegagalan saya untuk mengupdatekan blog ini kelmarin. Untuk makluman semua, sudah dua hari saya mengalami selsema dan batuk yang teruk sekali. 

Sememangnya sejak kelmarin, setelah mengambil ubat batuk dan selsema, terus saya akan masuk tidur seawal jam 8 malam. Mungkin kerana mabuk ubat kesan dari pengambilan ubat selsema. Tadi pun dah terlelap sejam dan tersedar balik jam 9 malam kerana ingin ke tandas dan kemudian teringat untuk mengupdatekan blog ini. 

Ya sebagai manusia biasa, sememangnya saya mengeluh dan merungut setiap kali saya terkena selsema dan batuk kerana ini adalah diantara penyakit yang saya paling tidak dapat tahan. Dengan tekak yang gatal dan berkahak, apabila batuk terasa sakit segala otot dada ini. Ditambah pula dengan hingus yang mengalir keluar dari hidung dan kadang-kadang apabila tidur malam membuatkan tidur tidak lena kerana hidung tersumbat. 

Lumrah manusia suka merungut dan mengeluh apabila ditimpa kesusahan, dan saya pasti anda juga begitu, kan?

Itu dahulu, sememangnya saya kuat mengeluh dan merungut sampaikan terkeluar perkataan tak sepatutnya dari mulut saya seperti 'nak mati' setiap kali saya tidak tahan berhadapan dengan kesakitan. Namun kini setelah memeluk Islam, Alhamdulillah saya semakin positif dan boleh menerima yang kesakitan mahupun penyakit yang saya alami ini adalah dugaan dan ujian ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala kepada diri saya yang senantiasa lupa akan-NYA. 

Sebenarnya penyakit itu adalah penghapus dosa-dosa kecil. Bersusaian dengan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan ALLAH akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.
(HR Bukhari dan Muslim)


Maka oleh itu saya perlu bersyukur akan nikmat kesakitan ini yang ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berikan menghapuskan dosa-dosa kecil saya dan muhasabah kembali akan kekhilafan diri. Insha Allah dengan izin dan kehendak dari-NYA.

Terima kasih kepada sahabat FB saya, saudari Cahaya Kesaksian kerana berkongsi ilmu dan tips ketika kita demam. Dia memberitahu saya, apabila kita demam, bacalah Surah Al-Ikhlas banyak-banyak kemudia perbanyakan menderma dan sedekah di Masjid. Insha Allah dengan keizinan-NYA kita penyakit yang dialami akan beransur pulih. 

Ertinya; Katakan: Dia ALLAH, Yang Maha Esa. ALLAH adalah TUHAN yang bergantung kepada-NYA segala sesuatu. DIA tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan DIA. 

Apa kaitan kisah saya demam dengan tajuk entri "Kelam Jiwa Seorang Pendosa"? Sudah pasti ada.

Sahabat-sahabat sekalian,

PENDOSA. Menyebut perkataan ini di dalam hati membuatkan jiwa menjadi sebak. Mata mula berair. Perlahan-lahan saya menyebutnya..

"Pendosa. Itu saya, itu anda semua, itu semua manusia. Pendosa."


Memang benar. Berdosa itu lumrah dalam kehidupan manusia. Satu hari yang dilalui, ada sahaja keburukan yang ditambahkanke dalam akaun dosa. Kalau bukan dengan mulut, dengan mata. Kalau bukan dengan telinga, dengan hati Begitu juga sebaliknya.

Tapi, berbangga dengan dosa itu adalah sesuatu penyakit yang parah.

Bagaimana seorang yang mempunyai penyakit (pendosa) boleh berbangga dengannya? Bukankah sepatutnya dia bersedih dan berusaha untuk menyembuhkan penyakit itu agar dirinya boleh pulih? 

Bagaimana pula dengan diri kita sendiri? 


Jiwa Seorang Pendosa


Masihkah kelam jiwa pendosa yang ada dalam diri itu yang berkeras tidak mahu melangkah kepada perubahan yang lebih baik? Masihkah ia ingin bertangguh lagi dan lagi? Masihkah banyak alasan yang diberikan?




Kadang-kadang, kita tidak pasti kenapa kita bersedih. Kita sendiri tidak pasti kenapa jiwa terasa kekosongan meskipun kita tidaklah berseorangan sangat. Ada saja kawan-kawan yang baik di sisi. Ada saja sahabat yang mengambil berat dan setia walau sudah pelbagai dugaan melanda ukhuwah itu.

Tapi, disana mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang hilang, mungkin.

Percaya atau tidak, sila tanya diri sendiri. Ada waktu, kita tahu apa yang dibuat itu salah. Kita tahu setiap yang dilakukan itu tidak terhijab daripada pandangan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. Kita tahu segala tulisan mahupun perkataan yang dilafazkan didengari oleh Tuan Punya Dunia. Tapi, masih juga kita terus buat meskipund alam kegelisahan.

Hanya selepas itu timbul sesal di benak kita, pendosa.

Lalu, kita melepas istighfar. Memohon ampun kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dalam bisikan sayup-sayup kedengaran dek telinga sendiri. Kita memejam mata dalam sesal, "Astaghfirullahal'adzim, ya ALLAH. Apa aku buat ni? Ya ALLAH..."

Ketahuilah, bukan saat itu sahaja ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala Maha Pengampun.

Tetapi padawaktu yang lain, kita melakukan kesalahan lagi dan lagi. Mungkin kesalahan yang saa. Mungkin juga kesalahan yang lain dalam konteks yang sama. Kita menyesali perbuatan itu, tetapi kenapa masih berlaku sehingga berulang-ulang kali?

Kenapa?

Dan tahukah kita betapa kelamnya jiwa kita saat itu?

Tidak sedih dengan 1iwa pendosa yang sedang kelam itu? Tidak sayu melihat diri yang hampir tenggelam dalam kenikmatan; kekelaman dunia yang dianggap keseronokan dan perkara biasa?

Kasihanilah diri kita, sahabat.


Mengapa Tidak Diserikan Kekelaman Jiwa Ini?


Kenapa tidak kita sama-sama ambil kesempatan untuk berubah? 

"Tak naklah buat macam ni, macam tu. Hipokrit. Saya tak nak jadi hipokrit!"

Saya tidak tahu hipokrit jenis apa yang sering dijadikan alasan di kalangan kita. Kalau berubah ke arah menuju redha ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala itu adalah hipokrit bagi kamu, maka saya mencabar kamu dan diri saya sendiri. Jadilah hipokrit! Jadilah hipokrit yang sungguh-sungguh hipokrit jika dalam jiwa itu masih ada sekelumit penyesalan dan mahu dekat dengan TUHAN.

Tolonglah...

Jangan katakan seruan hidayah itu masih belum sampai kepada kita. Hidayah itu sudah tersedia beribu tahun dahulu hasil perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Tinggal sahaja kita mahu ambil atau tidak. Tinggal sahaja diri ini mahu bergerak atau terus diam dalam kekelaman jiwa seorang pendosa. Mahu membawa penyakit jiwa itu.

Kamu seorang yang bukan Islamik?

Kamu seorang yang agak nakal?

Pemakaian yang biasa sahaja?

Menjadi nakal itu boleh. Saya sendiri nakal. Bukankah kita masih dalam fasa jiwa muda? Tapi alangkah indahnya jika nakal kita itu mempunyai acuan yang mengawal kenakalan kita dan kita tetap dalam kerehaan TUHAN.

Beza anak-anak akhirat dan anak-anak dunia adalah anak-anak akhirat memandang dengan jendela cinta akhirat.


Kita bukan tidak boleh berubah sebenarnya. Tapi kita banyak memberi alasan kepada diri sendiri. Hakikatnya, kita banyak memberi alasan kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. Nanti dan nanti, lagi dan lagi. Padahal, sikit pun DIA tidak rugi dengan kesombongan kita mahu datang kepada-NYA. Tapi kitalah yang akan rugi... tertunduk malu dengan penghinaan di akhirat nanti jika mati dalam kekufuran dan kefuturan. 

Saya sayang sangat kepada kamu... kerana ALLAH Subahanahu Wa Ta'ala.



Wallahu a'lam bish-shawabi.

Nota Kaki: Dikongsi doa yang boleh dibaca ketika sahabat-sahabat demam atau kurang sihat. 
بسمِ اللـًّهِ الْكِبـيْرِ ، نَعُوذُ باللَّـهِ الْعَظِيـْمِ مِنْ شَرِّ عِرقٍ نَعَّار
وَمِنْ شَرِّ حَرِّ النَّـارِ
Maksudnya : “Dengan nama ALLAH yang Maha Besar, kami memohon perlindungan dengan ALLAH yang Maha Agung dari kejahatan urat dan kejahatan kepanasan api

Tiada ulasan:

Catat Ulasan