Jumaat, 31 Oktober 2014

Muallaf: Hubungan Dengan Keluarga Selepas Memeluk Islam


Bismillah wa hamdan syukran lillah.

Allahumma solli ala sayyidina Muhammmad wa ala alihi wa sohbihi ajma'in.

Bismillahirahmanirahim, Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
 
Setinggi-tinggi rasa syukur diri ini abdikan kepada Maha Pencipta kerana nikmat yang tidak terhingga ini iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman. Alhamdulillah, alhamdulillah waalhamdulillah, tiada lafaz yang lebih indah dari ucapan syukur kepada ILLAHI kerana nikmat yang tidak terhitung ini.
 
Apa khabar sahabat-sahabat yang dikasihi kerana ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala? Saya doakan sahabat-sahabat semua sihat hendaknya, sihat badan dan juga sihat iman. Alhamdulillah, pada malam ini sekali lagi saya diberi peluang untuk menyumbang satu lagi entry buat bacaan sahabat-sahabat yang terkasih. 

Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk yang diri ini baik atau diri ini alim. Namun segala entry yang saya postkan selama-lama ini dan yang bakal dipostkan di kemudian hari adalah kerana saya yakin kepada janji ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala
 
Kita sebagai manusia, kadang-kadang lupa tanggungjawab kita yang diangkat oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala sebagai khalifah mentadbir bumi. Dan ketika di dalam kesenangan, kita sebagai manusia dengan angkuhnya kita lupa dan bersifat sombong kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, sehinggalah DIA mendatangkan ujian kepada kita barulah kita akan tersentak dari khayalan duniawi ciptaan sendiri serta menyesal dan tersungkur ke bumi merayu memohon keampunan-NYA. Tidak kah kita rasa sudah terlewat untuk itu, sedangkan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala telah berikan kita banyak waktu dan peluang untuk terus mendekati-NYA. 

Oleh itu apa yang saya kongsikan buat semua sahabat bukan untuk menunjuk diri ini baik, bukan untuk menunjuk diri ini alim dan bukan juga kerana riak tetapi setiap perkongsian saya adalah untuk menyatakan betapa tinggi dan rahmatnya anugerah ALLAH sekiranya kita sentiasa yakin dan percayakan janji ALLAH. 

Hubungan Diantara Muallaf dan Keluarga Setelah Memeluk Islam

Entry saya pada malam ini sangat straight to the point dan mudah untuk difahami. Saya percaya apa yang saya kongsikan ini pernah dialami oleh sahabat-sahabat muallaf di luar sana. Dan kini giliran saya menghadapinya. Namun itulah lumrah perjuangan dan pengorbanan yang perlu diterima tika mencari nikmat kelazatan iman, nikmat cinta sejati, nikmat sebuah keberkatan hakiki demi ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Saya yakin ramai mereka diluar sana yang ingin memeluk agama Islam mengalami dilema ini (termasuk diri saya sendiri sebelum ini). Satu demi satu persoalan timbul dalam diri masing-masing yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan dengan keluarga yang bukan Islam selepas memeluk Islam nanti. 

Antara soalan yang lazim menjadi kemusykilan mereka adalah:

1. Pergaulan dengan keluarga yang bukan Islam.
2. Makan bersama keluarga bukan Islam sekiranya duduk bersama.
3. Mengerjakan solat sekiranya masih duduk bersama keluarga bukan Islam.

Mengapa harus kita bebani hati kita dengan segala persoalan yang sudah pasti ada jawapannya.  Islam itu agama yang mudah. 


عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الدِّيْنَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّيْنَ اَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوْا وَقَارِبُوْا، وَأَبْشِرُوْا، وَاسْتَعِيْنُوْا، بِالْغُدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلَجَةِ
 
Daripada Abi Hurairah Radiallahu anhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Agama (Islam) itu adalah mudah, dan tidaklah sekali-kali seseorang itu memperberat-beratkan agama melainkan dia (agama itu) akan mengalahkannya. Oleh sebab itu tepatilah oleh kamu, dan hampirlah, dan gembiralah kamu (dengan berita itu). Dan memohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi, dan petang, dan sedikit daripada waktu malam.
(HR Bukhari dan Muslim)
 
 ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 185:
 
يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
 
ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan IA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. 
(Surah Al-Baqarah: 185)
 
Dalam surah yang lain ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
 
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
 
Maka bertaqwalah kepada ALLAH mengikut kemampuanmu.
(Surah At-Taghabun: 16)
 
  
Pergaulan Dengan Keluarga Bukan Islam

Islam tidak menghalang orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk terus berhubungan dan bersilaturrahim dengan keluarganya yang bukan Islam. Malah di dalam al-Quran, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala memerintahkan seorang muslim untuk tetap melayani dengan baik ibu-bapanya yang bukan Islam walaupun mereka pernah mengajaknya untuk mensyirikkan ALLAH (yakni kembali kepada agama asal). Firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala:
 


 
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKU sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKU (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada AKUlah tempat kembali kamu semuanya, maka AKU akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
(Surah Luqman: 15)
 
Dalam ayat di atas, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala melarang seorang yang telah Islam untuk memenuhi desakan ibu-bapanya yang masih kafir untuk mensyirikkan ALLAH (kembali kepada kekufuran), namun dalam pada itu ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tetap memerintahkan agar ia bergaul dengan mereka di dunia secara baik. Berkata Imam al-Qurthubi – mengulas ayat di atas; “Ayat ini menjadi dalil kepada tuntutan supaya mengikat hubungan dengan dua ibu-bapa yang kafir termasuk menafkahi mereka – mengikut yang terdaya - jika mereka miskin, bercakap lembut dengan mereka dan mengajak mereka kepada Islam dengan bahasa yang manis” (Tafsir al-Qurthubi, surah Luqman ayat 15).

Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’) bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab; “Ikatlah hubungan dengannya”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)
 
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tetap mengikat hubungan dengan bapa saudaranya (Abu Talib) walaupun beliau (Abu Talib) tidak memeluk Islam. 
 
 
Makan Bersama Keluarga Bukan Islam
 
Mengenai makan pula harus makan bersama keluarga yang tidak Islam, malah harus makan makanan yang dimasak/dihidangkan oleh orang bukan Islam, namun hendaklah dipastikan makanan itu adalah halal dan tidak bercampur dengan sebarang bahan yang haram. Terdapat hadis menceritakan; Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menerima makanan yang dihadiahkan oleh orang bukan Islam (Yahudi) dan baginda serta sahabatnya makan daging kambing yang dihadiahkan oleh seorang perempuan Yahudi.

Interaksi yang baik oleh seorang muslim baru dengan keluarganya yang bukan Islam boleh menjadi contoh bagi mereka untuk menilai kebaikan ajaran Islam dan mendorong mereka untuk turut sama memeluk Islam. 
 
Oleh itu, walaupun bertukar agama sekalipun, ikatan darah itu masih lagi ada. Bak kata pepatah Melayu, "air dicincang tidak akan putus", begitu juga lah hubungan kita dengan keluarga kita walaupun mereka bukan Islam. 
 
Alhamdulillah, meskipun pada awalnya saya mendapat tentangan dari ahli keluaga, namun kini mereka mampu menerima saya sedikit demi sedikit. Mungkin ahli keluarga saya telah melihat perubahan ke arah kebaikan wujud dalam diri saya setelah mengucapkan dua kalimah syahadah "AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU ADALAH PESURUH ALLAH." Inilah janji ALLAH untuk saya.

Akhir kalam, ingatlah walaupun kita telah memeluk Islam namun jangan sesekali kita memutuskan perhubungan kekeluargaan terutama sekali melupakan kedua ibu bapa kita. Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat kedua selepas mentaati ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. Justeru ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala mewajibkan anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan kepercayaan dan pegangan agama.  Bersandarkan firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala
 




Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Surah Luqman: 14)
 
 
 Bagaimana Kita Boleh Memuliakan Ibu Bapa Kita?
 







 Wallahu a'lam bish-shawabi.

Nota Kaki: Appreciate who loves you and cares for you. You'll never know how much they mean to you until the day they are no longer beside you.

1 ulasan:

  1. Bagaimana pula dari segi aurat dengan keluarga? Adakah sama dengan mahram seagama atau tetap aurat sesama bukan Islam?

    BalasPadam