Segala pujian hanya bagi ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, TUHAN semesta alam yang telah melengkapkan agama kepada kita dan menyempurnakan nikmat-NYA kepada kita. Kepada-NYA sahaja pujian yang banyak dan kepada-NYA juga ucapan syukur di waktu pagi dan petang. Selawat dan salam kepada junjungan nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, keluarga dan para sahabatnya serta orang yang menyeru dengan dakwahnya sehingga hari Kiamat.
Sudah pasti sehingga ke hari ini ramai yang tertanya-tanya mengapa saya boleh bertindak untuk memilih dan memeluk agama Islam? Mengapa saya tidak terus untuk menjadi seorang penganut agama Kristian Katolik? Mengapa saya mendahulukan Islam berbanding agama lain?
Pelbagai jenis soalan dan pertanyaan yang diajukan kepada saya tidak kira secara live, melalui SMS, face-to-face dan tidak kurang secara private inbox ke laman Facebook saya untuk mendapatkan kepastian. Saya juga tahu ada di antara sahabat-sahabat saya yang mungkin sehingga ke hari ini masih memendam dan menyimpan soalan yang ingin mereka tanyakan kepada saya berkaitan penghijrahan saya ini.
Jawapan saya amat mudah. YA, saya memeluk dan memilih agama Islam. Saya seorang Muslim, saya seorang muallaf. Mengapa harus Islam? Kerana Islam adalah agama Rahmatan Lil'Alamin iaitu agama yang benar sebagaimana firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran, Surah Ali-'Imraan ayat 19:
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi ALLAH ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH amat segera hitungan hisab-NYA.
(Surah Ali-'Imraan: 19)
Mustahil hanya disebabkan itu sahaja maka saya boleh bertindak sejauh ini untuk memeluk agama Islam dan menolak agama Kristian Katolik yang telah saya anuti semenjak kanak-kanak lagi.
Mesti disebabkan hasutan sahabat-sahabat saya yang beragama Islam, kan?
Atau, mesti saya telah jatuh cinta dan ingin mengahwini gadis yang beragama Islam?
Mengapa harus beranggapan senegatif itu? Tiada sesiapa yang menghasut atau menjadi pendorong kepada saya untuk memeluk Islam. Dan saya masih lagi single and available, maksudnya bukan kerana saya telah jatuh cinta dan bercadang untuk mengahwini seorang gadis Islam maka saya bertindak menukar agama saya.
Saya memeluk Islam dengan sukarela tanpa paksaan.
Memeluk Islam kerana saya telah jatuh cinta dengan agama ini, dan ingin mencari cinta ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala yang sejati agar diri ini, iman ini dan hati ini dipenuhi dengan cinta kasih-NYA sahaja agar diri ini tenang sehingga DIA menjemput untuk kembali kepada-NYA.
"Mengapa kamu nak peluk agama Islam sedangkan ramai orang Islam, orang Melayu dekat luar sana sudah hilang Islam mereka dan tersasar daripada ajaran agama mereka. Cuba kamu pergi pub-pub dekat KL tu, ramai sungguh orang Islam tengah bergoyang-goyang dan minum air arak yang mereka panggil kencing syaitan. Belum kamu kira lagi yang naik turun hotel angkut perempuan, ikut laki buat maksiat."
"Ini maksudnya agama Islam itu agama salah, tak mampu nak ajar penganut mereka. Kamu pula terlebih-lebih mahu peluk Islam!"
Itu adalah antara kritikan pedas dan pedih yang pernah saya terima ketika mula memeluk agama Islam.
Ya, saya akui sendiri sememangnya tidak dinafikan ada diantara kita yang beragama Islam telah jauh terpesong dari ajaran-NYA sehingga ada yang tidak mampu lagi untuk membezakan antara dosa dan pahala, yang baik dan yang buruk (astaghfirullah hal'azim al lazi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih).
Ramai diantara orang Islam hari ini bergelar seorang Islam hanya sekadar warisan. Kemanisan yang ada pada Islam tidak pernah mereka dapat rasai. Hanya mereka yang berjuang dengan sukar untuk mendapatkannya seperti diri saya ini, merasakan Islam itu begitu indah dalam diri saya.
Dan kini kepada mereka yang melemparkan kritikan sebegitu kepada saya, ini jawapan yang akan saya berikan.
"Muslim dan Islam adalah berbeza. Terlalu jauh ketara perbezaannya. Muslim itu orang Islam yang mewarisi Islam dan diajarkan dengan ajaran agama Islam tetapi tidak semestinya mereka semua mengamal apa yang mereka pelajari. Walhal Islam itu pula adalah satu ajaran. Oleh itu saya memilih Islam kerana saya ingin belajar dan terus belajar. Belajar untuk menjadi insan yang terbaik pada pandangan-NYA."
Tidak kurang juga ada sesetengah daripada sahabat saya seperti memberikan satu 'ugutan' kepada saya.
"Islam itu mudah, tetapi kamu jangan ambil mudah sangat. Nanti nampak buruk Islam itu jadinya."
Itu juga antara komen yang pernah saya terima di Facebook saya sendiri. Saya hairan.
Perkataan 'mudah' itu tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan saya, apatah lagi berkaitan dengan ajaran agama. Sebagai seorang yang tidak mewarisi agama Islam dari lahir, dan memilih untuk memeluk agama Islam secara sukarela tanpa paksaan dan bukan kerana ingin kahwin, sudah semestinya perkataan 'ambil mudah' itu tidak pernah wujud.
Ibarat seorang bayi yang baru lahir, saya perlu belajar untuk meniarap, merangkak, mengangkat kepala, berjalan dan seterusnya berlari. Terlalu banyak lagi ruang yang perlu saya explore dan terlalu banyak lagi ilmu yang saya perlu pelajari dan perbaiki. Namun saya tahu bahawa dalam kesusahan dan kepayahan saya mendalami agama Islam ini, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala sentiasa bersama dengan saya, membimbing dan memimpin saya. Sebagaimana firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 286:
ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang
terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia
juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dan
berkata): "Wahai TUHAN kami! Janganlah ENGKAU mengirakan kami salah jika
kami lupa atau kami tersalah. Wahai TUHAN kami! janganlah ENGKAU
bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah ENGKAU
bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai TUHAN
kami! Janganlah ENGKAU pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya
memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada
kami, dan beri Penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai
kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Al-Baqarah: 286)
Dalam ayat lain ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
Dan berjihadlah kamu pada
jalan ALLAH dengan jihad yang sebenar-benarnya DIA lah yang memilih
kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan IA tidak menjadikan kamu
menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama
bapa kamu Ibrahim. IA menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak
dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi
saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula
layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia
(tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang,
dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada ALLAH! DIA lah
Pelindung kamu. Maka (ALLAH yang demikian sifatNya) DIA lah sahaja
sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.
(Al-Hajj: 78)
Dari Abu Hurairah r.a, bahwa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya agama itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agama melainkan ia akan dikalahkan. Oleh kerana itu kerjakanlah dalam kadar semestinya, atau mendekati dengan kadar semestinya dan bergembiralah (dengan pahala ALLAH) dan mohonlah pertolongan di waktu pagi, petang dan sebahagaian malam”
(HR Bukhari
no.39)
Islam itu mudah bukan dengan tinggal perkara yang telah disuruh
kepada manusia tunaikan kerana kebanyakan perkara di atas dunia ini
perlukan bayaran. Maka, bayaran untuk syurga itu terlebihlah mahalnya
untuk kita menganggap mudah akan agama (dalam erti kata berehat-rehat)
bagi mencapai nikmat di akhir sana.
Inilah karakter sebenar Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai
oleh ALLAH yang diturunkan dalam keadaan yang sempurna kepada umat akhir
zaman. Dan inilah faktor mengapa saya memilih untuk memeluk Islam.
Sahabat-sahabat sekalian,
Saya
seorang muslim kerana Islamlah yang benar. Islam yang memuliakan saya
sebagai manusia, memelihara hak saya sebagai manusia, melarang saya
sebagai manusia menindas satu sama lain. Islam yang menjadikan hidup
sebagai suatu kehidupan yang penuh kemuliaan, yang tidak berlaku
penindasan satu bangsa kepada bangsa yang lain dan satu kumpulan kepada
kumpulan yang lain.
Inilah
Islam. Inilah hakikat Islam bagi orang yang memerhatikannya dengan ilmu
pasti mendapati ianya benar tanpa sedikitpun keraguan padanya. Thomas
Carl seorang Orientalis berbangsa Inggeris pada kurun ke 19 yang
membenarkan hal ini pernah berkata:
“Saya dengan penuh yakin bahawa
Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam bukan datang dengan dakwaan yang palsu, tetapi ajarannya
adalah ajaran yang benar."
Beliau menyatakan untuk membuktikan hal ini;
“Satu kaum yang jauh terasing lagi jahil di tengah padang pasir, beliau
mampu membuatkan mereka menjadi satu bangsa atau umat yang bertamadun
dan maju. Bukankah ini sudah cukup membuktikan bahawa agamanya ialah
agama yang maju, membangun dan bertamadun”.
Bahkan Bernard Shaw juga
seorang orientalis berbangsa Inggeris pernah berkata: “Jika tidak kerana
Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam datang dengan membawa agama sudah tentu akhlak manusia
tidak akan menjadi baik padahal manusia sangat memerlukan agama ini”.
Beliau
turut berkata: “Seandainya Muhammad masih hidup pada zaman kita ini
tentulah segala permasalahan dunia akan selesai sedang ia meminum
secawan kopi”.
Inilah sebab saya memilih agama Islam.
Saya sentiasa berdoa kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala agar memberi taufik
kepada saya dan menolong saya di atas agama-NYA dan menjadikan saya, insha
Allah antara seorang para pendakwah kepada agama-NYA dan pembimbing kepada
hidayah-NYA. Sesungguhnya ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala yang menentukan segala sesuatu.
Wallahu a'lam bish-shawabi.
Nota Kaki: Insha Allah pada entri yang seterusnya saya akan ceritakan kronologi bagaimana saya boleh memeluk Islam dan apa yang berlaku setelah saya memeluk Islam. Adakah saya ditentang oleh ahli keluarga saya sendiri?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan