Jumaat, 31 Oktober 2014

Muallaf: Hubungan Dengan Keluarga Selepas Memeluk Islam


Bismillah wa hamdan syukran lillah.

Allahumma solli ala sayyidina Muhammmad wa ala alihi wa sohbihi ajma'in.

Bismillahirahmanirahim, Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
 
Setinggi-tinggi rasa syukur diri ini abdikan kepada Maha Pencipta kerana nikmat yang tidak terhingga ini iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman. Alhamdulillah, alhamdulillah waalhamdulillah, tiada lafaz yang lebih indah dari ucapan syukur kepada ILLAHI kerana nikmat yang tidak terhitung ini.
 
Apa khabar sahabat-sahabat yang dikasihi kerana ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala? Saya doakan sahabat-sahabat semua sihat hendaknya, sihat badan dan juga sihat iman. Alhamdulillah, pada malam ini sekali lagi saya diberi peluang untuk menyumbang satu lagi entry buat bacaan sahabat-sahabat yang terkasih. 

Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk yang diri ini baik atau diri ini alim. Namun segala entry yang saya postkan selama-lama ini dan yang bakal dipostkan di kemudian hari adalah kerana saya yakin kepada janji ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala
 
Kita sebagai manusia, kadang-kadang lupa tanggungjawab kita yang diangkat oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala sebagai khalifah mentadbir bumi. Dan ketika di dalam kesenangan, kita sebagai manusia dengan angkuhnya kita lupa dan bersifat sombong kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, sehinggalah DIA mendatangkan ujian kepada kita barulah kita akan tersentak dari khayalan duniawi ciptaan sendiri serta menyesal dan tersungkur ke bumi merayu memohon keampunan-NYA. Tidak kah kita rasa sudah terlewat untuk itu, sedangkan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala telah berikan kita banyak waktu dan peluang untuk terus mendekati-NYA. 

Oleh itu apa yang saya kongsikan buat semua sahabat bukan untuk menunjuk diri ini baik, bukan untuk menunjuk diri ini alim dan bukan juga kerana riak tetapi setiap perkongsian saya adalah untuk menyatakan betapa tinggi dan rahmatnya anugerah ALLAH sekiranya kita sentiasa yakin dan percayakan janji ALLAH. 

Hubungan Diantara Muallaf dan Keluarga Setelah Memeluk Islam

Entry saya pada malam ini sangat straight to the point dan mudah untuk difahami. Saya percaya apa yang saya kongsikan ini pernah dialami oleh sahabat-sahabat muallaf di luar sana. Dan kini giliran saya menghadapinya. Namun itulah lumrah perjuangan dan pengorbanan yang perlu diterima tika mencari nikmat kelazatan iman, nikmat cinta sejati, nikmat sebuah keberkatan hakiki demi ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Saya yakin ramai mereka diluar sana yang ingin memeluk agama Islam mengalami dilema ini (termasuk diri saya sendiri sebelum ini). Satu demi satu persoalan timbul dalam diri masing-masing yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan dengan keluarga yang bukan Islam selepas memeluk Islam nanti. 

Antara soalan yang lazim menjadi kemusykilan mereka adalah:

1. Pergaulan dengan keluarga yang bukan Islam.
2. Makan bersama keluarga bukan Islam sekiranya duduk bersama.
3. Mengerjakan solat sekiranya masih duduk bersama keluarga bukan Islam.

Mengapa harus kita bebani hati kita dengan segala persoalan yang sudah pasti ada jawapannya.  Islam itu agama yang mudah. 


عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الدِّيْنَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّيْنَ اَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوْا وَقَارِبُوْا، وَأَبْشِرُوْا، وَاسْتَعِيْنُوْا، بِالْغُدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلَجَةِ
 
Daripada Abi Hurairah Radiallahu anhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Agama (Islam) itu adalah mudah, dan tidaklah sekali-kali seseorang itu memperberat-beratkan agama melainkan dia (agama itu) akan mengalahkannya. Oleh sebab itu tepatilah oleh kamu, dan hampirlah, dan gembiralah kamu (dengan berita itu). Dan memohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi, dan petang, dan sedikit daripada waktu malam.
(HR Bukhari dan Muslim)
 
 ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 185:
 
يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
 
ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan IA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. 
(Surah Al-Baqarah: 185)
 
Dalam surah yang lain ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
 
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
 
Maka bertaqwalah kepada ALLAH mengikut kemampuanmu.
(Surah At-Taghabun: 16)
 
  
Pergaulan Dengan Keluarga Bukan Islam

Islam tidak menghalang orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk terus berhubungan dan bersilaturrahim dengan keluarganya yang bukan Islam. Malah di dalam al-Quran, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala memerintahkan seorang muslim untuk tetap melayani dengan baik ibu-bapanya yang bukan Islam walaupun mereka pernah mengajaknya untuk mensyirikkan ALLAH (yakni kembali kepada agama asal). Firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala:
 


 
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKU sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKU (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada AKUlah tempat kembali kamu semuanya, maka AKU akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
(Surah Luqman: 15)
 
Dalam ayat di atas, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala melarang seorang yang telah Islam untuk memenuhi desakan ibu-bapanya yang masih kafir untuk mensyirikkan ALLAH (kembali kepada kekufuran), namun dalam pada itu ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tetap memerintahkan agar ia bergaul dengan mereka di dunia secara baik. Berkata Imam al-Qurthubi – mengulas ayat di atas; “Ayat ini menjadi dalil kepada tuntutan supaya mengikat hubungan dengan dua ibu-bapa yang kafir termasuk menafkahi mereka – mengikut yang terdaya - jika mereka miskin, bercakap lembut dengan mereka dan mengajak mereka kepada Islam dengan bahasa yang manis” (Tafsir al-Qurthubi, surah Luqman ayat 15).

Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’) bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab; “Ikatlah hubungan dengannya”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)
 
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tetap mengikat hubungan dengan bapa saudaranya (Abu Talib) walaupun beliau (Abu Talib) tidak memeluk Islam. 
 
 
Makan Bersama Keluarga Bukan Islam
 
Mengenai makan pula harus makan bersama keluarga yang tidak Islam, malah harus makan makanan yang dimasak/dihidangkan oleh orang bukan Islam, namun hendaklah dipastikan makanan itu adalah halal dan tidak bercampur dengan sebarang bahan yang haram. Terdapat hadis menceritakan; Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menerima makanan yang dihadiahkan oleh orang bukan Islam (Yahudi) dan baginda serta sahabatnya makan daging kambing yang dihadiahkan oleh seorang perempuan Yahudi.

Interaksi yang baik oleh seorang muslim baru dengan keluarganya yang bukan Islam boleh menjadi contoh bagi mereka untuk menilai kebaikan ajaran Islam dan mendorong mereka untuk turut sama memeluk Islam. 
 
Oleh itu, walaupun bertukar agama sekalipun, ikatan darah itu masih lagi ada. Bak kata pepatah Melayu, "air dicincang tidak akan putus", begitu juga lah hubungan kita dengan keluarga kita walaupun mereka bukan Islam. 
 
Alhamdulillah, meskipun pada awalnya saya mendapat tentangan dari ahli keluaga, namun kini mereka mampu menerima saya sedikit demi sedikit. Mungkin ahli keluarga saya telah melihat perubahan ke arah kebaikan wujud dalam diri saya setelah mengucapkan dua kalimah syahadah "AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU ADALAH PESURUH ALLAH." Inilah janji ALLAH untuk saya.

Akhir kalam, ingatlah walaupun kita telah memeluk Islam namun jangan sesekali kita memutuskan perhubungan kekeluargaan terutama sekali melupakan kedua ibu bapa kita. Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat kedua selepas mentaati ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. Justeru ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala mewajibkan anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan kepercayaan dan pegangan agama.  Bersandarkan firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala
 




Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Surah Luqman: 14)
 
 
 Bagaimana Kita Boleh Memuliakan Ibu Bapa Kita?
 







 Wallahu a'lam bish-shawabi.

Nota Kaki: Appreciate who loves you and cares for you. You'll never know how much they mean to you until the day they are no longer beside you.

Khamis, 30 Oktober 2014

Meniru Dalam Peperiksaan : Berkat kah Rezeki Yang Diperolehi Ketika Bekerja Kelak?

"Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan. Manakala rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak cukup, banyaknya tidak puas. Rezeki yang tidak berkat umpama meminum air laut, semakin diminum semakin haus."

Bismillah wa hamdan syukran lillah.

Allahumma solli ala sayyidina Muhammmad wa ala alihi wa sohbihi ajma'in.
 
Segala puji hanya buat ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, Pencipta dan Pemilik Mutlak Segala Ciptaan-NYA. Kita hanya makhluk kecil yang diciptakan atas kehendak-Nya. Kita bukan siapa-siapa. Tanpa diri kita yang kecil lagi kerdil ini, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tetap kekal menjadi Yang Maha Agung. Tidak tergugat hatta sekecil zarahpun atas setiap kecurangan kita kepada-Nya. Ibarat hembusan nafas anak kecil yang cuba meniup sebatang pokok kayu balak yang besar. Akan tumbangkah? 

Namun begitu, pada saat pokok besar itu yang tumbang menghempap sebatang tubuh anak kecil itu, akan ada peluangkah anak kecil itu bernafas lagi? Jika menurut aturan fitrah normal, akan menjadi leper, penyek atau ibarat lempenglah anak kecil itu. Lainlah jika takdir menentukan sebaliknya(anak kecil itu selamat), pastinya itu cerita lain pula. 

Demikian analogi yang saya nyatakan sebagai tamsilan kudrat kita sebagai seorang hamba, makhluk ciptaan yang sangat tidak memiliki kekuatan, kekuasaan, keupayaan, apatah lagi kehendak dan keinginan, melainkan semua itu berlaku hanya dengan izin ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Kudrat? Meniru? 

Mengapa harus saya berbicara tentang kudrat? Apa kaitan kudrat dengan tajuk entri saya; Meniru Dalam Peperiksaan: Berkatkah Rezeki Yang Diperolehi Ketika Bekerja Kelak

Memang sangat ada kaitan. 

Tapi sebelum saya menyatakan kaitannya, saya mahu terus kepada fokus yang ingin dikongsikan dan tekankan buat diri saya dan kita semua. 

Terimbas kembali kenangan ketika bergelar penuntut dahulu. Tidak kira ketika menuntut di UTM Skudai, UiTM Kota Samarahan mahupun ketika di USM Kubang Kerian. Alhamdulillah, sejahat-jahat saya sebagai seorang manusia,  walaupun ketika itu saya masih lagi belum memeluk agama Islam, namun satu sahaja prinsip yang pegang ketika belajar yakni JANGAN SESEKALI MENIRU KETIKA PEPERIKSAAN

Entah mengapa ketika itu saya percaya bahawa rezeki yang kita perolehi kelak hasil dari pencapaian (segulung sijil) yang diperolehi dari meniru adalah rezeki yang tidak berkat dan haram. Agak kontra dengan penuntut-penuntut yang lain dimana tiada satu rasa takut apabila mereka meniru. 

Ketika itu sememangnya saya berasa amat marah, YA saya marah kerana saya berusaha keras mengulangkaji pelajaran siang dan malam, memerah otak untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan satu keputusan yang cemerlang. Seandainya tidak cemerlang sekalipun, saya redha dengan apa yang saya terima ketika itu. 

Saya tahu mereka yang meniru juga berusaha sehebat mungkin untuk memikir strategi untuk meniru. Berusaha sekeras mungkin agar mereka tidak tertangkap ketika peperiksaan dijalankan, namun yang membuat saya terasa sedikit jelek apabila dengan bangganya golongan ini mencanangkan bahawa mereka hebat dan ini barulah dikatakan sebagai study smart not study hard!

 Asas Hukum Meniru?



1) Meniru itu adalah menipu, dan menipu hukumnya haram. Sebuah hadis :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah melalui seorang laki-laki yang sedangI menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya? Barangsiapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)" 
(Riwayat Muslim, 1/99)
 
2) Pernah juga diriwayatkan bahawa : 
إن الله إذا حرم شيئا حرم ثمنه

Sesungguhnya ALLAH apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram).
(Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312)

3) Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya. Apabila Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mendapat tahu lalu terus berkata :
قَاتَلَ الله الْيَهُودَ حُرِّمَ عليهم الشَّحْمُ فَبَاعُوهُ وَأَكَلُوا ثَمَنَهُ

ALLAH akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini apabila ALLAH mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.
(Riwayat Al-Bukhari no 2111, 2/775 ; Muslim, Baihaqi)

Dari kedua-dua dalil di atas, jelas kepada kita hukum meniru dalam peperiksaan adalah haram kerana ia adalah satu bentuk penipuan.

Dari hadis ketiga juga dapat difahami setiap hasil keuntungan duniawi yang terhasil dari yang haram, maka hukumnya adalah haram jua. Tatkala itu, kenaikan gaji yang diperolehi dari peperiksaan dan pekerjaan yang dilakukan juga adalah dikira pendapatan yang haram. 

Amat malang, penipuan yang memberi manfaat dunia seperti ini cukup digemari oleh ramai orang, tanpa mereka sedari kehidupan akhirat mereka dalam bahaya apabila kehidupan harian mereka dikelilingi oleh duit kenaikan gaji dan untung haram tanpa mereka sedari. 

Dosa ini ibarat 'time bomb' yang amat menderitakan di alam barzakh, ibarat 'time bomb'  yang akan meletup sejurus seorang itu disapa kematian. Mati dalam keadaan sebegini, adalah mati dengan penuh dosa disebabkan hartanya.

Tindakan u turn bagi mereka yang telah terlanjur begini adalah dengan segera bertaubat, melupuskan harta yang haram secara ansuran, memperbanyakkan sedekah dan juga meningkatkan kualiti diri sesuai dengan nilai 'sijil Diploma/Ijazah' yang diperolehinya (bagi yang bekerja). 

Tetapi, bagi pelajar, usahakanlah untuk berubah. Bersungguhlah dalam menuntut ilmu. Jaminan rezeki yang halal dan berkat bermula dari cara dan usaha awal (menuntut ilmu) yang benar dan berkat. 

Kekayaan, pangkat dan kebesaran yang dikecapi adalah sementara sahaja, amat jarang kenikmatan sementara ini mampu dikecapi melebihi 60 tahun. Justeru, mengapakah kita masih lagi terlalu ghairah untuk mengumpulkannya tanpa mengira haramnya?

Malangnya diri yang terlupa kematiannya penamat segala kenikmatan dunia.  Justeru carilah harta dari yang HALAL sahaja. 


Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
أكثروا ذكر هاذم اللذات الموت
  
Perbanyakkanlah ingatan kepada pemutus segala nikmat (dunia) iaitu MAUT.
( At-Tirmidzi, 4/553 ; Ibn Hibban, 7/259 ; Imam Tirmidzi : Hadith Hasan Ghorib)


Halal Dan Berkatkan Rezeki?

Peperiksaan merupakan amanah kepada kita; amanah kita dengan diri sendiri, amanah kita dengan ibu bapa, amanah kita dengan guru atau pensyarah, dan yang paling utama amanah kita dengan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Cuba bayangkan jika kita mendapat pekerjaan dari hasil kita meniru di dalam peperiksaan dahulu. Kita beri anak isteri kita makan(bagi lelaki), kita berikan mak ayah kita - sedangkan hasil yang kita peroleh di atas jalan kezaliman kerana kita mengambil hak orang lain yang sepatutnya mendapat pekerjaan tersebut berdasarkan penilaian akademik yg sebenar.

Adakah rezeki yg kita dapatkan itu adalah HALAL dan BERKAT?

Ayuh fikirkan! Tepuk dada tanya iman anda.

Ingatlah sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam "La imana liman la amanata lahu" yang bermaksud Tidak ada iman bagi sesiapa yg tidak ada amanah pada dirinya”.

Dan tidak amanah atau khianat ini merupakan satu ciri dari 3 ciri org yg munafik yg diterangkan di dalam hadis yang diriwayat dari Abi Hurairah Radhiallahu anhu:

 Ayatul munafiqi thlasah, iza haddasa kazaba waiza wa’ada akhlafa waiza’tumina khaana
  
Tanda-tanda atau ciri-ciri orang yg munafik ada tiga: 1) bila bercakap dia berdusta 2) bila berjanji dia mungkiri 3) bila diberi amanah dia khianati.


Perkaitan Kudrat Dan Meniru


Kembali kepada perkaitan antara kudrat kita sebagai hamba ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dengan perbuatan meniru. 

Saya ingin kita fikirkan bersama. Adakah ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala suka dengan perbuatan meniru ini? 

Saat hati kita ragu-ragu untuk menjawab, saat rasa gundah dan serba salah hadir, itulah ketidaktenangan hati. Ingatlah, saat kita merasa tidak tenang melakukan sesuatu yang kita tidak pasti, yakinlah disitu ada hint yang ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berikan. Bersandarkan firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran:


(TUHAN yang membuka jalan kemenangan itu) DIAlah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh), supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada pada hal ALLAH menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan ALLAH adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al-Fath: 3)

  
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah". Ketahuilah! Dengan "dzikrullah"itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah Ar-Ra'd: 28)
Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya.
 (Surah Al-Fajr: 27-28)

Selusuri dengan pandangan mata hati, redha ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala sangat berkait rapat dengan ketenangan hati. Fatwa Hati. Demikian juga yang disebutkan dalam Hadith 40 Imam Nawawi. 

Kudrat kita, kehendak kita, nafsu yang memburu, mahukan kecemerlangan. Tidak salah, tapi janganlah usahakan melalui jalan yang tidak benar. Kita mahu berjaya, tapi tidak mahu berusaha dengan usaha yang benar (meniru juga adalah usaha, ya. Tapi usaha yang salah). 

Jangan sampai, bila kita dah berjaya, harta pun dah mencapai status kaya, pangkat dah tinggi dan megah, anak-anak dihantar keluar negara, hidup mewah, namun diakhirnya kita tersungkur lemah tak berdaya. Akhirnya di HARI PERHITUNGAN, kita menjadi papa-kedana kerana rupanya ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tidak memandang harta, pangkat, nilai keputusan dalam penghakiman-NYA. 
Lalu, jadilah kita orang yang rugi yang muflis dan dicampak ke tempat yang tiada keampunan melainkan azab siksa-NYA. Na'uzubillahi min dzalik ya Rabb. Pada saat itulah, kita ibarat anak kecil yang cuba meniup pokok yang besar. Kita cuba menegakkan kehendak diri, ternyata ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala adalah Sang Agung Yang Sangat Perkasa dan Berkuasa terhadap segalanya.

Wahai diri dan sahabat yang saya kasihi kerana ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala,

Biarlah result kita rendah asalkan BERKAT. NAMUN LEBIH BAIK jika keputusan kita cemerlang melalui usaha yang BENAR. Yakinlah, bahawa ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tidak memandang berapa nilai PNGK yang kita ada. Tetapi ALLAH Subhanahu Wa Ta'la menilai bagaimana cara dan usaha yang kita lakukan dalam kita menjalani aturan kehidupan hamba, abid yang diciptakan untuk beribadah kepada-NYA. ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala melihat bagaimana kita cara kita menjadikan peperiksaan itu satu nilaian IBADAH disisi ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. Kerana hanya itu yang membezakan kita disisi-NYA. Taqwa dan rasa bertuhan (ihsan) ketika kita menjawab soalan.
Ayuh bersama kita fikirkan dan renungkan...

Sesungguhnya, SEDIKIT yang berkat itu akan sentiasa terasa mencukupi. Sedangkan yang BANYAK tetapi tidak berkat, tidak akan pernah terasa puas apatah lagi rasa mencukupi.

Selamat Menempuhi Peperiksaan Akhir Semester kepada Pelajar Vision College. Didoakan kejayaan menjadi milik anda. SIFAR MENIRU!

Wallahu a'lam bish-shawabi.
Nota Kaki: Sedikit tambahan...
terjemahan kata-kata Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin, seperti berikut:

- Tidak halal bagi seorang pelajar meniru ketika peperiksaan. Kerana perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar, kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Sesiapa menipu, maka bukan dari kalangan kami".

-Dan kerana hasil kerja menirunya, dia akan berjaya dalam peperiksaan, dan diberikan slip peperiksaan, sedangkan dia tidak berhak memperolehinya.

-Kemudian, dia akan menjawat pekerjaan dalam negaranya, sedangkan jawatan-jawatan itu tidak layak diberikan kecuali kepada orang yang mempunyai sijil. Jika sijil yang diperolehinya adalah hasil daripada perbuatan meniru, maka dibimbangi gaji-gaji yang diperolehi adalah harta haram.

-Kerana, dia mendapat gaji tersebut walhal dia tidak berhak, kerana dia sebenarnya tidak mencapai kelayakan yang sebenar. Atau dengan kata lebih tepat, dia tidak mencapai tahap yang melayakkan dirinya menjawat sesuatu jawatan. Maka penerimaan gajinya adalah termasuk memakan harta tanpa hak.

- Manakala sangkaan sesetengah orang bahawa tidak mengapa meniru dalam subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, atau Matematik, sangkaan ini tidak berasas. Kerana semua subjek yang terdapat dalam kurikulum hendaklah dikuasai oleh pelajar. Dia juga diberikan sijil dengan kepercayaan dia menguasai semua subjek. Jika dia meniru dalam sesetengah subjek, maka ia dikira khianat terhadap amanahnya, dan pada hakikatnya dia tidak berjaya.

Rabu, 29 Oktober 2014

Hari Ku Yang Penuh Dengan Warna-warna Kehidupan



Assalamualaikum buat semua sahabat-sahabat yang dikasihi dan dirahmati ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Bismillahirrahmanirrahim. Segala Puji Bagi ALLAH, TUHAN sekelian Alam yang menghidupkan kita, dengan kurniaan-NYA dan nikmat-NYA mengizinkan nadi kita untuk berdenyut, jantung kita untuk berdengup, kaki kita untuk berjalan, mata kita untuk melihat, telinga kita untuk  mendengar dan segala-segalanya penuh dengan keistimewaan. 


Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ( صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد ). Pengorbanan dan kasihnya pada kita tak akan lekang sepanjang zaman. 

Hari ini masuk pejabat jam 1.30 tengahari. Tidak berapa sedap badan. Rasanya bakal menghidapi selsema dalam masa terdekat ini. Mengapa saya beranggapan sedemikian? Biasanya saya ini kalau nak selsema akan pasti hidung i terasa pedih dan tidak selesa. Pasti berjangkit dengan Zul (roomate) sebab 2-3 hari lepas, dia batuk dan selsema. 

Kisah Suka Hari Ini



Masuk sahaja pejabat, ada seorang kakak cantik di Sales and Marketing Department berikan Red Velvet Cupcake. Comel. Pastinya sedap. 


Comelkan? Pada mulanya memang rasa tidak sampai hati nak makan cupcake ini. Tapi - dugaan iman - akhirnya habis semua ditelan. Terima kasih Kak Dora a.k.a Kak Lola a.k.a Kak Adoi. Air tangan Kak Dora sememangnya yang terbaik bak kata Dato' Aliff Syukri - "terlajak laris". 

Kak Dora yang comel , fashionista dan fasih berbahasa Urdu, Tamil, Myanmar dan Pakistan

Itu tak penting! Yang penting bagi mereka yang berminat, sila hubungi Dora Cupcake Gojes di talian 012-344 XXXX (tekan-tekan handphone melekat) untuk tempahan.

Mengapa Perlu Menipu?

Perbualan diantara Fatin dan Kak Ila yang mencuri perhatian saya
 
Selepas tamat lunch hour, terdengar perbualan Fatin dan Kak Ila. Nampak serius sahaja perbualan mereka. Oleh kerana perasaan ingin tahu amat meninggi, saya cuba bertanya kepada Fatin. Rupa-rupanya berkaitan dengan kes seorang pelajar yang dikatakan mendapat tawaran Diploma Separa Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (permohonan melalui SPA) namun dihantar untuk membuat kursus tersebut di Mahsa University.

Pada mulanya saya merasakan isu ini seperti sengaja diperbesarkan kerana sebelum ini sememangnya pihak KKM pernah menghantar pelajar-pelajar mereka untuk belajar dimana-mana IPTS

Contoh terdekat adalah Vision College. Batch pertama Diploma Kejururawatan adalah merupakan pelajar-pelajar tajaan KKM. Disamping itu, sepupu saya juga dihantar belajar Diploma Kejururawatan di UCSI University walaupun dia merupakan pelajar tajaan KKM.

Kemudian apabila ditunjukkan surat tawaran tersebut, membuatkan saya menjadi semakin ingin tahu. Terdapat banyak keliruan pada surat tersebut seperti yang ditunjukkan oleh pelajar. 

Surat yang didakwa dari Kementerian Kesihatan Malaysia

Apa yang mengelirukan dan boleh dipersoalkan tentang surat yang didakwa diserahkan kepada pihak sekolah pelajar tersebut yang berasal dari Temerloh, Pahang:

1. Surat ini tiada kepala surat (letter head) Kementerian Kesihatan Malaysia.
2. Mengapa perlu dikenakan bayaran ketika pendaftaran?
3. Dimaklumkan oleh pelajar, dia dikehendaki untuk membayar uniform, membayar elaun sara hidup kerana duit tersebut floating, membayar untuk pengiktirafan dan akreditasi. 
4. Duit perlu dibayar kepada pihak sekolah dan baki dibayar ketika pendaftaran. 
5. Keputusan SPM pelajar tersebut hanya 3 Kredit. Bagaimana boleh melepasi syarat ditetapkan SPA untuk program Separa Perubatan?

Oleh kerana tidak berpuas hati, saya menghubungi terus Bahagian Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia dan bercakap dengan Cik Rukiah Baba berkaitan isu ini. Pelbagai soalan saya kemukakan kepada Cik Rukiah, dan ini apa yang telah beliau maklumkan kepada saya:

1. Pihak KKM tidak pernah menghantar mana-mana pelajar mereka dari KSKB Sungai Buloh untuk belajar di Mahsa University.
2. Sekiranya ada sekalipun, tiada charge dikenakan kepada mana-mana pelajar KKM kerana mereka terikat dengan kontrak perjanjian KKM iaitu kesemua tanggungan adalah percuma ketika latihan.
3. Beliau meminta saya faks atau emailkan semua surat-surat tawaran pelajar tersebut kepada beliau untuk siasatan dan tindakan.
4. Beliau turut meminta saya melaporkan dan membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Seperti yang diminta saya telah emaikan kesemua surat tawaran pelajar berkenaan kepada beliau. Namun saya tidak membuat sebarang aduan kepada pihak KPM, sebaliknya saya menghubungi terus pihak Mahsa University untuk kepastian.

Bagaikan dapat dijangka dari awal lagi, tindakan pihak pengurusan Mahsa University sememangnya tidak profesional. Panggilan telefon saya di'passed'kan dari satu jabatan ke satu jabatan lain. Namun persoalan saya tidak langsung dijawab. Mereka bagaikan cuba mencari alasan untuk melepaskan diri. Bak kata pepatah 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga'. 

Apa yang membuatkan saya berasa annoyed dengan pihak Mahsa University adalah mereka janji akan meminta pengawai bertanggungjawab untuk menghubungi saya bagi memberikan penjelasan, namun sehingga jam 12.00 tengah malam ini, satu panggilan pun saya tidak terima daripada pihak mereka.  

Apa yang mereka cuba sembunyikan? Adakah kerana inginkan pelajar bagi kemasukan Oktober 2014, mereka sanggup menipu dengan menggunakan nama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sungai Buloh? Pelbagai soalan timbul dalam hati saya berkaitan isu ini.

Mungkin ramai yang bertanya mengapa saya 'busy body' dengan isu ini? 

Ini jawapan saya - sebagai seorang education counselor yang terlibat 100% dalam pengambilan pelajar di Vision College, tugas saya ini bukan semata-mata hanya untuk memastikan bahawa setiap kali pengambilan akan ada pelajar yang datang mendaftar untuk menyambung pengajian mereka. Tetapi saya turut bertanggungjawab di atas masa depan pelajar tersebut. Haruskah kita menggadaikan masa depan mereka semata-mata untuk memuaskan tembolok sendiri? 

Untuk makluman pelajar tersebut datangnya dari keluarga yang kurang berkemampuan, ibunya menderita penyakit jantung dan dia telah kematian ayahnya. Tergamak kah kita untuk menipu duit seorang anak yatim?

ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran, Surah An-Nisaa' ayat 10:


Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api kedalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
(Surah An-Nisaa': 10)

Perbuatan mempergunakan anak-anak yatim untuk kepentingan diri sendiri adalah satu perbuatan yang amat keji dan tercela. Islam sentiasa menyuruh umat-umatnya supaya mengasihi dan bersikap baik terhadap anak-anak yatim seperti melayan anak sendiri, bukan menganiaya serta mempergunakan mereka. Sedangkan setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, tentu sahaja setiap keburukan juga akan dibalas dengan keburukan. Doa anak-anak yatim adalah antara doa-doa yang mudah dimakbulkan.

Oleh itu, hendaklah orang yang berakal itu takut kepada TUHANnya dalam memelihara anak yatim dan hartanya. Dalam tafsir al-Qurthubi, dari Abi Said al-Khudri, dari Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam, baginda bersabda :
 

Di malam aku diisrakkan, ku lihat sekelompok kaum, bibirnya seperti bibir unta dan ada orang yang ditugaskan membukanya lalu memasukkan batu-batu dari neraka ke mulutnya hingga keluar dari bawah (dubur) nya. Aku bertanya, "Wahai Jibrail, siapakah mereka itu?" Jibrail menjawab, "Itulah orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan aniaya".


Di dalam Islam itu sendiri telah ditekankan bahawa menganiaya anak yatim mahupun memakan harta mereka adalah ciri-ciri seorang yang munafik. Nauzu billahi min zalik, kami berlindung dengan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dari perkara-perkara buruk tersebut daripada menimpa kami. 

Apa yang berlaku hari ini saya akan jadikan pengajaran bagi saya sebagai seorang education counselor yang profesional dan mencari nafkah berdasarkan tuntutan Islam, agar di masa hadapan saya perlu bersikap amanah dalam melaksanakan tugas saya. Isu sebegini walaupun bagi sesetengah individu boleh dianggap sebagai remeh namun kerana isu inilah saya memperingati diri sendiri, menganiaya anak yatim dan hartanya merupakan antara dosa-dosa besar yang perlu kita elakkan. 

Sebagai renungan buat diri saya yang serba kekurangan ini, rezeki hasil daripada penipuan adalah HARAM. Ini bersandarkan kepada firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala:


Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
(Surah Al-Baqarah: 168)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menguatkan lagi hakikat ini menerusi sabdanya:
Sesungguhnya daging yang dibesarkan dengan perkara haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya.
(HR at-Tabrani)
Wallahu a'lam bish-shawabi.

Majlis Perpisahan

Jam 6.00 petang masing-masing sibuk thumb print balik kerja. Namun bagi kami di Sales and Marketing Department bersama-sama dengan Registrar dan staf Student Service Department bergerak ke Seoul Garden, Paradigm Mall untuk sambutan Majlis Perpisahan seorang sahabat saya yang juga merupakan salah seorang senior education consultant di department saya merangkap roomate saya sekarang dan juga merupakan alumni USM (budak Restu ambil course science physics). 

Jumaat ini adalah hari terakhir dia akan bertugas di Vision College kerana beliau ditawarkan jawatan Pegawai Sains C41 di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bergerak ke Seoul Garden satu kereta bersama-sama Amir, Kak Dora, Fatin dan Buya. Setibanya di Seoul Garden, tanpa menunggu orang yang sepatutnya diraikan, kami berlima terlebih dahulu meraikan perut masing-masing yang kelaparan.



 Gambar menjadi saksi, meraikan perut dahulu sambil menunggu insan yang diraikan tiba

Majlis perpisahan yang dihadiri oleh kakitangan Sales and Marketing Department (kecuali Kak Ila, Abang Adam dan Qida), Cik Zu (Registrar Vision College), Layyean (Student Service Coordinator / Counselor), Zara (Accomondation Counselor) dan Leonard (Account Coordinator). 

Namun agak menyedihkan apabila salah seorang staf IT tidak dapat hadir kerana dia telah diwardkan di ICU Hospital Asunta setelah menjalani neuro surgery. Semoga Liew cepat sembuh.

Insan yang diraikan Mohd. Zulfadli Zaini (Education Consultant Vision College) bersama Kak Dora dan Sylvie (Education Counselor/ Opticianry)

Bermula jam 6.00 petang sehingga jam 9.30 malam, sememangnya kami semua menjamu selera semampu yang boleh. Buffet makanan Korea, diberi 10 jam sekalipun masih tetap mampu bertahan. Dari kimchi bokkeumbap (볶음밥), makanan bergril, kimchi jjigae stew (김치 찌개), Joagetang (조개탕), sushi, ramyun, patbingsu (팥빙수) sehingga ke semua jenis minuman telah dicuba sepanjang masa 3 jam setengah tersebut. 

Itu baru dikatakan 'makan'! Tiada langsung pembaziran.

Saya serahkan gambar-gambar sebagai bukti kepada anda untuk menilai kesahihan entri saya ini. 




Nampak? Ini lah suasana mereka makan sehingga tidak fokus kepada paparazi yang sibuk mengambil gambar mereka untuk dijadikan bahan di dalam blog.

3 jam berlalu...

Inilah hasilnya.

Amir yang kekenyangan

Zul yang masih memikirkan makanan seterusnya

Sememangnya majlis ini happening, disamping meraikan Zul yang bakal berkhidmat dengan Kerajaan, majlis ini dapat mengeratkan lagi hubungan diantara semua kakitangan terutama sekali di kalangan staf Sales and Marketing dan hubungan bersama department lain terutama sekali hubungan dengan registrar (saya tahu dia mesti baca blog saya, oleh itu saya sengaja mentioned nama dia). 

Tak aci, masa saya sibuk ke tandas baru nak ambil gambar sekumpulan

Kumpulan K-pop 4 Minutes Sales & Marketing: Buya, Sylvi, Fatin dan Kak Dora

Dari Kiri: Layyean, Leanord, Cik Zu dan Zara (tudung purple)

Aktiviti seterusnya dan mungkin juga menjadi aktiviti terakhir bersama-sama Zul akan diadakan pada Sabtu ini (1 November 2014). Perancangan kami adalah untuk mengadakan BBQ dan Family Day bagi Sales and Marketing Department.

Akhir kata dari saya...

Saya sudah kenyang. Alhamdulillah

Nota Kaki: Buat Sahabat ku Mohd Zulfadli Zaini.

Sahabatku, usah ditangisi perpisahan yang berlaku, sememangnya itu lumrah kehidupan, perjuangan tetap perlu diteruskan biar dimana pun kita, walau kemana pun kita, mungkin tempat dan haluan kita berbeza, tapi ingatlah bahawa perjuangan kita sama untuk menuju kepada matlamat yang satu; ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, bertunjangkan roh aqidah islamiah. Sememangnya ia amat pahit untuk melaluinya tetapi kepahitan itu akan berlalu dan akan disusuli dengan kemanisan insha Allah, kuatkan semangat dirimu untuk menghadapi cabaran dan dugaan yang mendatang, ketahuilah sahabat ku, di luar sana makin kuat dugaan dan ujian yang terpaksa ditempuhi, itu medan kita yang sebenar, disitu banyak mengajar kita erti kehidupan dan sebagainya. Kadang-kadang mungkin kita merasakan kuat kerana adanya teman seperjuangan disisi kita, tapi sampai bila ianya akan kekal, seandainya dia tiada usah kau merasa lemah, seharusnya engkau kena kuat, kerana masih ada yang sentiasa menemanimu dalam setiap detik nafasmu yakni ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Sahabatku, ingatlah, masih akan tetap utuh ikatan ukhuwah islamiah fillah yg dibina sepanjang kita berada di medan perjuangan ini, walaupun tiada di depan mata akan sentiasa diingati dalam setiap doa.  

Sahabat, usah kau merasakan kehilangan tongkat tempat engkau bergantung, kerana masih ada yang lebih kuat untuk menongkat dirimu sepanjang perjalanan hidupmu. 

Sahabat, mungkin mulut senang untuk bebicara dan meluahkan kata-kata, hakikatnya itulah yang sebenarnya yang perlu kita tempuhi, walaupun ia terlalu menguji iman kita. Ingatlah wahai sahabatku, pergantungan kita dengan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala adalah yang paling utama, sejauhmana keimanan kita padaNYA. Bilamana kita jauh dariNYA, makin jauhlah DIA dengan kita.

Sahabatku, perjuangan kita ini bukan berlandaskan pada semangat yang tinggi dan kata-kata semata-mata tetapi bagaimana kita melaksanakan dan mengamalkan segala ilmu yang kita perolehi dalam perjuangan ini. Ingatlah sahabat, mengadulah padaNYA kerana DIAlah sebaik-baik tempat pengaduan, sebaik-baik tempat unuk kita meminta pertolongan dan sebaik-baik tempat untuk semua masalah yang kita hadapi. Jadikanlah Al-Quran dan Sunnah itu pegangan hidup kita.

Sahabatku, janganlah dipinta untuk ALLAH menghilangkan segala bebanan dan masalah yang kita hadapi, tetapi mintalah untuk ALLAH memberi kita kekuatan untuk menghadapi semua itu. Sesungguhnya dalam perjuangan tiada kesenangan dunia yang akan kita perolehi, melainkan nikmat kesenangan yang kekal abadi yang telah ALLAH janjikan buat hamba-hambaNYA di akhirat kelak, insha Allah.
Terima kasih Ya ALLAH kerana menghadirkan sahabat seperti dia dalam hidupku.