Isnin, 27 Oktober 2014

Perlukah Seorang Muallaf Menukar Nama Bapa Selepas Memeluk Islam

Islam adalah agama rahmat untuk seluruh alam. Islam tidak dimonopoli oleh satu-satu bangsa dan ia juga mengenepikan mana-mana bangsa daripada menerimanya. Sungguhpun Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam berbangsa Arab, namun sejak hari Islam tersebar ia telah diterima oleh manusia berbilang bangsa dari seluruh pelosok dunia. Umat Islam dituntut menyebarkan Islam agar dapat dianuti dan diterima oleh manusia sejagat. 

Umat Islam adalah bersaudara tidak kira di mana dia berada. Umat Islam diikat jiwanya antara satu sama lain melalui kalimah syahadatain. Ikatan ini melangkaui semua jenis ikatan persaudaraan. Namun itu bukan bererti Islam menafikan pertalian darah dan keturunan. Dari sudut kemanusiaan, seseorang yang memeluk Islam tidak putus hubungan kekeluargaan dengan saudara maranya yang masih belum Islam lebih-lebih lagi ibu dan bapanya. Masih ada tanggungjawab kekeluargaan yang perlu dilunaskan selama mana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Inilah intipati ajaran yang terkandung di dalam firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala:



Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-KU sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-KU (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada AKU lah tempat kembali kamu semuanya, maka AKU akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
(Surah Luqman: 15)

Islam di Malaysia sering dikaitkan dengan bangsa Melayu. Takrif ‘Melayu’ menurut perlembagaan Malaysia sendiri, turut memasukkan unsur agama Islam sebagai anutan bangsa Melayu. Namun begitu kemasukan orang-orang bukan Melayu ke dalam agama Islam di Malaysia bukanlah perkara baru. Justeru tanggapan sebilangan manusia yang menghadkan Islam hanya kepada Melayu adalah tidak tepat, bercanggah dengan sifat Islam yang universal. Ia juga bercanggah dengan realiti. Istilah ‘masuk Melayu’ sering dikaitkan dengan mereka yang memeluk agama Islam. Ini menimbulkan perasaan kurang senang sebahagian masyarakat bukan Melayu dan juga mengakibatkan salah tangapan di kalangan umat Islam Melayu sendiri.


Antara isu yang berkaitan dengan ‘masuk Melayu’ ialah perubahan pada budaya, cara hidup dan berpakaian serta adat resam. Ini membawa tanggapan bahawa apabila seseorang itu memeluk Islam atau ‘masuk Melayu’ bermakna dia mestilah mengorbankan segala-galanya termasuk hubungan kekeluargaan. Akibat buruk daripada salah faham ini, masyarakat bukan Melayu sangat bimbang dan takut jika ada di kalangan keluarga mereka yang memeluk Islam. Kebimbangannya ialah kalau-kalau ahli keluarga tersebut akan ‘membuang’ keluarga yang sekian lama menyayanginya semata-mata agama yang baru dianutinya.


Fenomena ini mungkin cuba dinafikan oleh sebilangan orang. Tetapi perasaan itu memang wujud lebih-lebih lagi mereka yang memeluk Islam menukar nama asal mereka kepada nama baru yang bersifat ‘Melayu’. Lebih menakutkan apabila nama bapa kandung yang memeliharanya semasa kecil, membiayai kehidupan dan pelajarannya juga turut diubah kepada nama baru yang tiada kena mengena dengan dirinya. Seorang muallaf lazimnya akan menukarkan namanya kepada nama baru dan di‘bin’kan kepada Abdullah. Rata-rata saudara baru menerima tekanan daripada keluarga akibat tindakan menukar nama bapa mereka kepada Abdullah. Siapa Abdullah? Kenapa Abdullah


Bagi pihak keluarga pula mereka merasakan bahawa saudara mereka yang baru memeluk Islam tu telah membuang keluarga kerana menukar nama bapa kepada nama seseorang yang tidak dikenali. Oleh itu, dia wajar dibuang dari keluarga dan tidak layak mengunjungi ibu bapa dan keluarganya lagi. Inlah dilema yang dihadapi oleh ramai saudara baru sejak sekian lama. Mungkin ada di kalangan saudara baru yang dapat menjelaskan kepada keluarga bahawa ‘Abdullah’ bermaksud ‘Hamba ALLAH’ dan hamba ALLAH yang dimaksudkan ialah bapanya. Namun ketakutan banyak keluarga asal saudara baru berhubung hal ini tidak dapat dinafikan lagi.



Oleh itu, entry kali ini cuba menyingkap tentang isu ini, sejauhmana perbuatan menukar nama bapa bagi saudara baru itu menepati kehendak nas-nas syarak.


Memeluk Islam


Para sarjana Islam menetapkan bahawa Islam dan iman adalah keyakinan di hati, penuturan lisan dan amalan anggota tubuh. Memeluk Islam memerlukan kepada pengucapan dua kalimah syahadah dan berlepas diri daripada sebarang keyakinan dan amalan yang bertentangan dengan Islam. Tidak disyaratkan untuk mengucap dua kalimah syahadah di dalam Bahasa Arab, sebaliknya ia boleh dilakukan di dalam mana-mana bahasa yang difahami oleh penuturnya.


Setiap ‘urf dan bangsa di dunia ini mempunyai nama yang digunakan untuk dikenali. Perbuatan mensyaratkan orang yang memeluk Islam menukar kepada nama Arab atau ‘Melayu’ memerlukan kepada dalil. Ini kerana kaedah asal dalam syariat ini ialah sebarang penetapan syarat atau hukum mestilah didirikan di atas dalil, jika tidak dibimbangi ia termasuk di dalam perbuatan taqawwul ke atas ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala sesuatu yang tidak DIA firmankan. ALLAH melarang perbuatan ini dengan firman-NYA:

 
Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah tidak akan berjaya.
(Surah An-Nahl: 116)

Justeru itu apa yang perlu dilakukan ialah meneliti nas-nas syarak berhubung penukaran nama, bukan sekadar kebiasaan, rasa-rasa ataupun ‘cakap-cakap orang’.   

Kepentingan Nama 


Nama adalah pengenalan bagi seorang manusia. Seseorang itu akan dipanggil dan dikenali melalui namanya. Urusan kehidupan dunia ini menuntut setiap manusia agar mempunyai nama, justeru semua tamadun manusia menggunakan nama sebagai pengenalan diri. Di dalam Islam nama bukan sahaja digunakan untuk urusan di   dunia bahkan nama juga akan dipanggil di akhirat kelak. Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam bersabda:


إِنَّكُم تُدعَونَ يَومَ القِيَامَةِ بِأَسمَائِكُم وَأَسمَاءِ آبَائِكُم، فَأَحسِنُوا أَسمَاءَكُم



“Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu”.
(H.R Abu Daud)

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa manusia akan dipanggil dengan namanya dan ber’bin’kan bapanya. Ia juga menjelaskan arahan nabi Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam agar mengelokkan nama sendiri (tetapi kenapa pula tidak diarahkan untuk mengelokkan nama bapa?). 


Walaupun hadith ini dida‘ifkan oleh muhaddithin seperti Abu Daud, al-Hafiz Ibn Hajar, al-Munziri dan al-Albani, namun maksud hadith ini tergambar di dalam beberapa hadith lain yang sahih. Antaranya:


i- Sabda Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam:


إِنَّ الغَادِرَ يُرفَعُ لَهُ لِوَاءٌ يَومَ القِيَامَةِ يُقَالُ هَذِهِ غَدرَةُ فُلَانِ بنِ فُلَانٍ



“Sesungguhnya pengkhianat diangkat baginya pada Hari Kiamat sebuah panji-panji, lalu diberitahu: ini adalah pengkhianatan Fulan Bin Fulan”

(H.R Al-Bukhari)



ii- Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam telah menukarkan nama beberapa orang sahabat yang tidak baik maknanya kepada nama yang mempunyai makna yang baik. Kata Abu Daud:


وَغَيَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْمَ الْعَاصِ وَعَزِيزٍ وَعَتَلَةَ وَشَيْطَانٍ وَالْحَكَمِ وَغُرَابٍ وَحُبَابٍ وَشِهَابٍ فَسَمَّاهُ هِشَامًا وَسَمَّى حَرْبًا سَلْمًا….



“…dan Nabi Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam telah menukar nama al-‘As (keengkaran), ‘Aziz (salah satu daripada nama ALLAH yang bermaksud Maha Perkasa), ‘Atalah (kasar dan keras), Syaitan, al-Hakam (salah satu daripada nama ALLAH yang bermaksud Maha Bijaksana), Ghurab (jauh atau burung gagak), Hubab (nama bagi syaitan dan nama sejenis ular atau yang sejenis dengannya) dan Syihab (nyalaan api) kepada Hisyam (pemurah) dan menukarkan nama Harb (perang) kepada Salm (perdamaian)….”

                        (H.R Abu Daud secara ikhtisar (ringkasan) sanad)



Berdasarkan hadith-hadith ini dapat difahami bahawa di akhirat nanti manusia akan dipanggil dengan namanya dan nama bapanya. Justeru itu, nama wajar diperelokkan. Inilah yang telah dilakukan oleh baginda Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam terhadap sebilangan sahabat. Baginda telah menukarkan nama-nama yang mengandungi makna yang tidak baik atau tidak sesuai. Di samping itu, nama juga merupakan salah satu bentuk doa terhadap pemiliknya. Ini berdasarkan apa yang disebutkan oleh Said Bin al-Musayyib  daripada bapanya:


أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا اسْمُكَ قَالَ حَزْنٌ قَالَ أَنْتَ سَهْلٌ قَالَ لَا أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي. قَالَ ابْنُ الْمُسَيَّبِ فَمَا زَالَتْ الْحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ



“bahawasa bapanya datang kepada nabi Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam lalu baginda bertanya: Siapakah namamu? Jawab beliau: Hazn (dukacita). Sabda nabi: Engkau Sahl (mudah), jawabnya: Aku tidak akan mengubah nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku. Kata Said Bin al-Musayyib: Selepas itu kami terus-terusan dirundung kesedihan.”

  (H.R al-Bukhari)
 
Perkataan Said Bin al-Musayyib menunjukkan bahawa nama datuknya memberi kesan kepada kehidupan keluarga mereka.

Hukum Menukar Nama Muslim


Berdasarkan himpunan nas-nas syarak dan pandangan para ulama, dapat disimpulkan bahawa hukum menukarkan nama bagi seorang Muslim adalah berbeza mengikut keadaan:


i- Wajib:


Sepakat para ulama mengharamkan setiap nama – tidak kira dalam bahasa apa sekalipun – yang berunsur kufur, syirik dan yang mengandungi makna yang menyaingi ALLAH atau tidak layak untuk sesiapa melainkan ALLAH. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam bersabda:


إِنَّ أَخْنَعَ اسْمٍ عِنْدَ اللَّهِ رَجُلٌ تَسَمَّى مَلِكَ الْأَمْلَاكِ


“Sesungguhnya sehina-hina nama di sisi ALLAH ialah seorang lelaki yang bernama Malik al-Amlak (Raja segala raja).”

(H.R Muslim)


Al-Nawawi telah menamakan bab bagi hadith-hadith seperti ini sebagai: Pengharaman memakai nama Malik al-Amlak dan Malik al-Mulk (Raja Segala Raja).


Ibn Hazm menegaskan bahawa para ulama juga bersepakat mengharamkan setiap nama sembahan selain daripada ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Ini termasuklah nama-nama dewa dan berhala sembahan musyrikin. Jika nama-nama yang berunsur kufur, syirik dan menyaingi ALLAH adalah haram, tentulah menukarkannya kepada yang lebih baik hukumnya wajib.


 ii- Mustahab (Sunat):


Selain daripada nama-nama yang diharamkan tetapi mengandungi makna yang tidak elok, sunat untuk diubah. Tiada paksaan dalam mengubahnya. Justeru itu, para ulama hadith apabila membicarakan hadith-hadith tentang penukaran nama-nama sahabat, hanya memberikan hukum mustahab bukan wajib. Al-Nawawi umpamanya menamakan tajuk bagi hadith-hadith riwayat Muslim itu sebagai: Bab disukai menukar nama yang buruk kepada yang baik.  


Dalil yang jelas berhubung perkara ini ialah hadith Said al-Musayyib daripada bapanya:


أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا اسْمُكَ قَالَ حَزْنٌ قَالَ أَنْتَ سَهْلٌ قَالَ لَا أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي. قَالَ ابْنُ الْمُسَيَّبِ فَمَا زَالَتْ الْحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ



“Bahawa bapanya datang kepada nabi Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam lalu baginda bertanya: Siapakah namamu? Jawab beliau: Hazn (dukacita). Sabda nabi: Engkau Sahl (mudah), jawabnya: Aku tidak akan mengubah nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku. Kata Said Bin al-Musayyib: Selepas itu kami terus-terusan dirundung kesedihan.”

  (H.R al-Bukhari)



Al-Tabari menyatakan bahawa nabi Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam tidak menukarkan nama-nama tersebut dengan tujuan melarangnya tetapi hanya sebagai pilihan. Demikian juga jika hukumnya wajib tentu baginda tidak akan membiarkan keengganan Hazn menuruti cadangan baginda. Para sahabat Radhiallahu ‘anhum juga tentu tidak sewenang-wenangnya mengengkari arahan nabi melainkan mereka memahami itu hanyalah cadangan daripada baginda Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam. Para sahabat Radhiallahu ‘anhum juga tentu tidak sewenang-wenangnya mengengkari arahan nabi melainkan mereka memahami itu hanyalah cadangan daripada baginda Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam.  


Berdasarkan hujah ini, hukum menukar nama yang tidak elok maknanya kepada yang lebih baik adalah sunat selagi ia tidak mengandungi maksud yang diharamkan.

iii- Harus: 

Apabila seseorang itu sudah memiliki nama yang maknanya baik, beliau boleh menukarnya kepada nama lain yang juga baik maknanya atau mengekalkan apa yang sedia ada. Dalam hal ini, nama tersebut tidak semestinya di dalam Bahasa Arab seperti yang disalah sangka oleh ramai orang.  


Tiada sebarang dalil selain daripada apa yang terdahulu berhubung arahan penukaran nama. Begitu juga tiada sebarang dalil yang melarang seseorang menukar namanya daripada satu nama yang baik kepada satu nama baik yang lain. Oleh itu sesiapa yang mempunyai nama yang baik dalam satu-satu bahasa boleh untuk menukarkannya dengan nama baik dalam bahasa lain dan boleh juga untuk mengekalkannya. Contohnya: Muhammad Merdeka. Perkataan Merdeka adalah dalam Bahasa Melayu dan mengandungi makna yang baik, jika pemiliknya ingin menukarnya kepada nama lain yang juga baik tidak menjadi halangan.


Keperluan untuk menukar atau mengekalkan nama asal adalah bergantung kepada kepentingan dan maslahah pemiliknya. Ada individu yang namanya sudah elok dalam bahasa ibundanya, jika ditukar nama kepada nama Arab menyebabkan perniagaannya terjejas atau ruang bergerak untuk berdakwah agak terhad. Ada juga individu yang perlu menukar namanya bagi mengelakkan kekeliruan identiti dan seumpamanya.

iv- Makruh:
 
Orang Islam digalakkan memiliki nama yang baik. Oleh itu menukar suatu nama yang sudah elok kepada yang kurang elok atau yang tiada makna, hukumnya makruh. Ini sering berlaku kepada individu yang meringkaskan panggilan namanya atau menggunakan nama glamour meninggalkan nama asalnya. Contohnya: Khadijah ditukar menjadi Khatty atau Burhanuddin ditukar kepada Bob. 

v- Haram: 

Menggunakan kaedah yang sama dengan kewajipan menukar nama, dibina hukum haram bagi yang melakukan sebaliknya. Oleh itu menukarkan nama kepada yang haram hukumnya haram.


Tukar Nama Bagi ‘Saudara Baru’
 
Isu yang sering dikaitkan dengan penukaran nama ialah apabila seorang bukan Muslim menukar agamanya kepada Islam. Perkara ini apabila tidak disuluh dengan dalil, hanya akan menyebabkan kesukaran dan membebankan ‘saudara baru’ itu.


Berasaskan hukum menukar nama yang telah dibentangkan, dapat disimpulkan bahawa tuntutan menukar nama ke atas ‘saudara baru’ adalah berdasarkan makna yang dikandung oleh nama tersebut. Jika namanya mengandungi atau dirangkaikan dengan nama dewa tertentu sebagaimana yang dilakukan oleh penganut Hindu, wajib ia mengubahnya. Begitu juga jika makna yang dikandungnya bermaksud kekufuran. Jika namanya sekadar mengandungi maksud yang tidak baik, sunat baginya mengubahnya. 


Tetapi jika nama yang dimiliki membawa maksud yang baik dalam bahasa ibundanya, dia tidak diwajibkan untuk menukarnya. Lebih lebih lagi jika ia mengandungi maslahah dalam pekerjaan, perniagaan, dokumen perjalanan apatah lagi hubungan kekeluargaan. Hal ini bergantung kepada maslahah dan mafsadah yang bakal timbul jika sebarang penukaran dilakukan. Jika dia ingin menukarkannya juga, hukumnya adalah harus.


Sebagai contoh, seorang warga Pakistan yang tinggal di Arab Saudi bernama Ilahi Bakhisy (إلهي بخش). Nama tersebut adalah di dalam Bahasa Urdu yang bermaksud “Anugerah ALLAH”. Nama ini telah dipersoalkan oleh beberapa pihak kerana kalimah Ilahi mendahului kalimah Bakhisy. Masalah yang timbul menyebabkan beliau mengemukakan soalan tentangnya kepada Lajnah Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi. Jawapan daripada Lajnah adalah seperti berikut:


“…tiada masalah untuk memakai nama Ilahi Bakhisy yang maknanya di dalam Bahasa Arab: ‘Atiyatullah atau Hibatullah (Anugerah Allah), dan jika kamu menukarnya kepada maknanya di dalam Bahasa Arab adalah lebih selamat bagi kamu.” 


Situasi seseorang adalah berbeza antara satu sama lain. Ada juga ‘saudara baru’ yang terpaksa berhadapan dengan kesukaran menggunakan nama baru.

           

Menukar Nama Bapa


Isu berikutnya yang turut ‘menghantui’ golongan saudara baru ialah menukar nama bapanya. Seperti yang telah dimaklumi, kebiasaan masyarakat Islam Malaysia ialah saudara baru akan memilih nama baru dan di‘bin’kan kepada Abdullah. Contohnya: Muhammad Farid Ravi Bin Abdullah dan Muhammad Ridhuan Tee Bin Abdullah.


Tindakan ini sama sekali tidak berasaskan kepada mana-mana dalil al-Quran mahupun al-Sunnah. Malahan ia bercanggah dengan petunjuk kedua-duanya. Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam telah menukar nama ramai sahabat baginda, tetapi baginda tidak pernah mencadangkan atau mengarahkan mereka menukarkan nama bapa-bapa mereka. Buktinya ialah Umar tetap berbinkan Al-Khattab, Ali tetap berbinkan Abu Talib, ‘Utbah tetap dibinkan kepada Abu Lahab dan sebagainya.


Mungkin timbul persoalan bagaimana dengan nama-nama bapa yang mengandungi makna yang tidak baik? 


Jelas melalui dalil-dalil yang ada, tuntutan menukar nama kepada yang lebih baik hanyalah untuk Muslim sedangkan orang bukan Islam tidak dituntut menukar namanya. Itupun untuk diri sendiri, tidak dituntut menukar nama  ibu bapa, datuk atau keluarga. Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam telah menukar nama Harb kepada Salm dan Al-‘As kepada Hisyam tetapi di kalangan sahabat tetap dibinkan kepada Harb dan Al-‘As iaitu Abu Sufyan Sakhar Bin Harb dan ‘Amru Bin Al-‘As. 


Sekalipun nama bapa mengandungi makna yang bercanggah dengan ajaran agama, seorang Muslim hanya disyariatkan menukar nama sendiri sahaja. Sebagai contoh, nama penuh Abu Sufyan ialah Sakhar Bin Harb Bin Abd Syams Bin Abd Munaf. Nama seperti Abd Syams jelas berunsur syirik, tetapi itulah nama Abu Sufyan yang dikenal sehingga ke hari ini. Begitu juga ‘Utbah Bin Abi Lahab kerana nama sebenar Abu Lahab ialah ‘Abd al-‘Uzza, nama salah satu berhala paling utama di Makkah. Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam tidak pernah meminta mereka atau mana-mana sahabat Radhiallahu ‘anhum menukarkan nama bapa atau datuk mereka. Oleh itu tidak timbul persoalan tentang nama-nama seperti Ahmad Bin Subramaniam atau Ali Bin Siva, walaupun nama-nama itu adalah nama dewa-dewa Hindu.


Lajnah Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi telah ditanya beberapa soalan berhubung penukaran nama bapa atau datuk yang tidak Islami (mengandungi unsur haram atau syirik). Jawapan yang diberikan: 

“…wajib menukar namanya yang berunsur syirik dengan nama yang Islami dan tidak wajib menukar nama bapanya dan datuk nenek moyangnya”.

“…maka seorang Muslim tidak mukallaf untuk mengukar nama datuknya, sebaliknya dia hanya dituntut menukar namanya sahaja, jika ianya berunsur syirik, hodoh dan tidak elok”.

Masalah Berhubung Penukaran Nama Bapa



Berdasarkan keterangan di atas, perbuatan menukar nama bapa kandung kepada yang selainnya adalah tindakan yang menyalahi sunnah Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam  sedangkan baginda ikutan umat Islam. Selain itu ia membawa kepada suatu masalah yang lebih besar. Masalah yang dimaksudkan ialah menghilangkan nasab sebenar dan menyedihkan hati ibu bapa kandung. ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala menjelaskan berhubung panggilan bagi seorang anak, firman-NYA:  



Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.)
(Surah Al-'Ahzab: 5)


Ayat ini adalah berkaitan suatu amalan Jahiliyyah, iaitu apabila seseorang itu mengambil anak angkat, anak tersebut akan dibinkan kepadanya. Sebelum turun arahan ALLAH ini, Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam juga telah melakukan perkara yang sama terhadap anak angkatnya, Zaid Bin Harithah. Baginda pernah menamakan beliau sebagai Zaid Bin Muhammad sempena nama baginda sendiri. Apabila turun ayat ini, bersegeralah baginda menukarnya kembali kepada Zaid Bin Harithah sebagai ketaatan terhadap perintah ALLAH.


Ramai ulama yang mengulas ayat ini menemukan kesimpulan yang sama, iaitu haram meletakkan bin bukan kepada bapa kandung yang sebenar. Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah menjelaskan tentang ayat ini dengan katanya:


“ALLAH mewajibkan kita memanggilnya (seseorang itu) dengan dibinkan kepada bapanya yang melahirkan dia, bukan bapa yang mengambilnya sebagai anak angkat…”


 Jika bapa yang memelihara seseorang sebagai anak angkatpun tidak berhak menasabkan seseorang kepadanya, apatah lagi nama yang tidak diketahui siapa tuan empunya badannya. 


Ibn ‘Asyur juga menegaskan bahawa meletakkan bin kepada bapa kandung adalah keadilan yang sempurna manakala tindakan selainnya adalah kekejaman ke atas para bapa yang sebenar dan anak-anak angkat; ini kerana ia menghilangkan nasab yang sebenar. 


Jika seorang ‘saudara baru’ dibinkan kepada Abdullah yang bukan bapa kandungnya, tentu sahaja ini mendedahkan kepada risiko tersebut. Apatah lagi ada satu dua kes di mana bapa angkat kepada ‘saudara baru’ itu memang bernama Abdullah.


Tindakan mengubah ‘bin’ kepada Abdullah dapat menghapuskan ikatan saudara baru dengan bapa kandungnya. Dibimbangi ini termasuk di dalam sabda Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam:


 لَا تَرْغَبُوا عَنْ آبَائِكُمْ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ أَبِيهِ فَهُوَ كُفْرٌ


“Jangan kamu membenci bapa-bapa kamu, barangsiapa yang membenci bapanya maka ia adalah suatu kekufuran”          

(H.R Al-Bukhari)



Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan perkataan Ibn Battal yang mensyarahkan hadith ini, katanya:


“Maksud ‘membenci bapa’ ialah barangsiapa yang menukarkan nasabnya daripada (dibinkan) kepada bapanya (untuk dibinkan) kepada selain bapanya sedang dia mengetahuinya, secara sengaja dan dengan pilihan sendiri…dan kufur tersebut bukan dimaksudkan kufur sebenar yang mengekalkan nya di dalam neraka”.
 

Larangan yang lebih jelas berhubung hal ini didapati di dalam beberapa hadith, antaranya:


i- Daripada Anas Bin Malik:


رسول الله (ص) يقول: مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيرِ أَبِيهِ أَوِ انْتَمَى إِلَى غَيرِ مَوَالِيهِ، فَعَلَيهِ لَعنَةُ اللهِ المُتَتَابِعَةِ إِلَى يَومِ القِيَامَة


“Barangsiapa yang mendakwa (berbinkan) kepada bukan bapanya atau bernasab kepada bukan maulanya, maka ke atasnya laknat ALLAH yang berterusan hingga Hari Kiamat”.

(H.R Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Albani)



ii- Ali Bin Abi Talib berkhutbah yang diambil daripada Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam:


  مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيرِ أَبِيهِ أَوِ انْتَمَى إِلَى غَيرِ مَوَالِيهِ، فَعَلَيهِ لَعنَةُ اللهِ والملائكة والناس أجمعين، لاَ يَقبَلُ اللهُ مِنهُ يَومَ القِيَامَةِ صَرفاً وَلاَ عَدلاً


“Barangsiapa yang mendakwa (berbinkan) kepada bukan bapanya atau bernasab kepada bukan maulanya, maka ke atasnya laknat ALLAH, para malaikat dan manusia seluruhnya, ALLAH tidak menerima daripadanya pada Hari Kiamat taubat mahunpun fidyah”.

(H.R Muslim)



iii- Daripada Saad Bin Abi Waqqas dan Abi Bakrah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam bersabda:


مَنْ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ


“Barangsiapa yang mendakwa (berbinkan) kepada bukan bapanya, sedangkan dia mengetahuinya, maka syurga haram baginya”.

                                                                                                                  (H.R al-Bukhari)



Para ulama hadith seperti Al-Nawawi, Ibn Hajar, Al-‘Azim Abadi dan yang seumpamanya ketika mengulas hadith-hadith ini menegaskan bahawa ia menunjukkan betapa beratnya pengharaman menasabkan diri kepada bukan bapa sebenar. Ini kerana perbuatan ini membawa kepada kufur nikmat, memutuskan silaturrahim dan penderhakaan terhadap ibu bapa.

 

Kesimpulan

Perbuatan yang sudah menjadi kebiasaan ini walaupun tiada arahan rasmi jelas mengundang bencana. Ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam. Walaupun ada pihak yang memandang enteng perkara ini, namun ia sesuatu yang besar di sisi mereka yang sentiasa menjunjung sunnah Rasul Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam. Selanjutnya ia diangap kufur nikmat kerana tidak menghargai nikmat ibu bapa kandung yang sah. Ia juga seperti yang telah dinyatakan, menyebabkan banyak keluarga rasa dibuang akibat penukaran nama bapa ini.


Bukankah ini secara tidak langsung bermaksud memutuskan silaturrahim dan hubungan kekeluargaan? Selanjutnya apabila ibu bapa kandung bersedih dengan tindakan ini sedangkan ia tidak dituntut agama, bererti penderhakaan terhadap mereka berdua. Ini jelas bercanggah dengan arahan al-Quran supaya bergaul dengan mereka secara makruf seperti yang dijelaskan dalam surah Luqman ayat 15.

Berdasar apa yang telah dikemukakan, ternyata tidak menjadi syarat memeluk Islam dengan menukar nama asal seseorang. Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam hanya menukar nama-nama yang ‘bermasalah’ sahaja dan tiada nas menunjukkan ada sahabat menukarkan ‘bin’nya kepada Abdullah.

Oleh sebab itu, sebarang cadangan, arahan atau perbuatan meletakkan ‘bin Abdullah’ bagi saudara baru perlu dinilai semula. Ia tidak disyariatkan malahan memberi kesan ke atas hubungan kekeluargaan dan pandangan ahli keluarga yang belum Islam terhadap dakwah Islam. Di samping itu, memandangkan terdapat kemungkinan berlakunya penafian nasab akibat penukaran tersebut, mungkin suatu tindakan rasmi daripada pihak berwajib dapat menyekat daripada berlakunya larangan syarak itu.

Wallahu a'lam bish-shawabi.



Nota Kaki: Alhamdulillah saya memilih untuk mengekalkan nama ayahanda saya Encik Bugang Nyalah. Walaupun saya beragama Islam, tetapi saya masih lagi dan akan terus tetap menjadi anak mereka. 

Rujukan: 


1)     Al-‘Asqalani, Ibn Hajar. Fath al-Bari. http://www.al-islam.com

2)     Al-‘Azim Abadi. “Awn al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud. http://al-islam.com.

3)     Al-Alusi, Mahmud Bin Abdullah. Ruh al-Ma‘ani. http://www.altafsir.com

4)     Al-Bujairami. Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib. http://www.al-islam.com

5)     Ibn ‘Asyur. Al-Tahrir wa al-Tanwir. http://www.altafsir.com

6)     Ibn Taymiyyah, Ahmad Bin Abd al-Halim. Majmu‘ al-Fatawi. http://www.al-islam.com

7) Jad al-Haq Ali Jad al-Haq. Fatawi al-Azhar. Wizarah Awqaf al-Misriyyah, http://www.islamic-council.com

8) Lajnah Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi. http://www.islamtoday.al-eman.com/feqh

9) Muhammad Bin Abd al-Wahhab. Al-Qaul al-Sadid Syarh Kitab al-Tauhid. Arab Saudi:Wizarah al-Syu’un al-Islamiyyah wa al-Awqaf wa al-Dakwah wa al-Irsyad, ctk kedua, 1421H.

10) Al-Nawawi. Al-Majmu‘ Syarh Al-Muhadhdhabhttp://www.al-islam.com

11) Al-Nawawi. Syarah Al-Nawawi 'ala Sahih Muslim. http://www.al-islam.com

1 ulasan:

  1. mcama pula Abraham, Jacob, David, Eve, Noah yg merujuk kepada Ibrahim, Yakub, Daud, Hawa, Nuh? Org Islam Sendiri skrg dh ramai guna nama tu.

    BalasPadam