Khamis, 30 Oktober 2014

Meniru Dalam Peperiksaan : Berkat kah Rezeki Yang Diperolehi Ketika Bekerja Kelak?

"Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan. Manakala rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak cukup, banyaknya tidak puas. Rezeki yang tidak berkat umpama meminum air laut, semakin diminum semakin haus."

Bismillah wa hamdan syukran lillah.

Allahumma solli ala sayyidina Muhammmad wa ala alihi wa sohbihi ajma'in.
 
Segala puji hanya buat ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala, Pencipta dan Pemilik Mutlak Segala Ciptaan-NYA. Kita hanya makhluk kecil yang diciptakan atas kehendak-Nya. Kita bukan siapa-siapa. Tanpa diri kita yang kecil lagi kerdil ini, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tetap kekal menjadi Yang Maha Agung. Tidak tergugat hatta sekecil zarahpun atas setiap kecurangan kita kepada-Nya. Ibarat hembusan nafas anak kecil yang cuba meniup sebatang pokok kayu balak yang besar. Akan tumbangkah? 

Namun begitu, pada saat pokok besar itu yang tumbang menghempap sebatang tubuh anak kecil itu, akan ada peluangkah anak kecil itu bernafas lagi? Jika menurut aturan fitrah normal, akan menjadi leper, penyek atau ibarat lempenglah anak kecil itu. Lainlah jika takdir menentukan sebaliknya(anak kecil itu selamat), pastinya itu cerita lain pula. 

Demikian analogi yang saya nyatakan sebagai tamsilan kudrat kita sebagai seorang hamba, makhluk ciptaan yang sangat tidak memiliki kekuatan, kekuasaan, keupayaan, apatah lagi kehendak dan keinginan, melainkan semua itu berlaku hanya dengan izin ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Kudrat? Meniru? 

Mengapa harus saya berbicara tentang kudrat? Apa kaitan kudrat dengan tajuk entri saya; Meniru Dalam Peperiksaan: Berkatkah Rezeki Yang Diperolehi Ketika Bekerja Kelak

Memang sangat ada kaitan. 

Tapi sebelum saya menyatakan kaitannya, saya mahu terus kepada fokus yang ingin dikongsikan dan tekankan buat diri saya dan kita semua. 

Terimbas kembali kenangan ketika bergelar penuntut dahulu. Tidak kira ketika menuntut di UTM Skudai, UiTM Kota Samarahan mahupun ketika di USM Kubang Kerian. Alhamdulillah, sejahat-jahat saya sebagai seorang manusia,  walaupun ketika itu saya masih lagi belum memeluk agama Islam, namun satu sahaja prinsip yang pegang ketika belajar yakni JANGAN SESEKALI MENIRU KETIKA PEPERIKSAAN

Entah mengapa ketika itu saya percaya bahawa rezeki yang kita perolehi kelak hasil dari pencapaian (segulung sijil) yang diperolehi dari meniru adalah rezeki yang tidak berkat dan haram. Agak kontra dengan penuntut-penuntut yang lain dimana tiada satu rasa takut apabila mereka meniru. 

Ketika itu sememangnya saya berasa amat marah, YA saya marah kerana saya berusaha keras mengulangkaji pelajaran siang dan malam, memerah otak untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan satu keputusan yang cemerlang. Seandainya tidak cemerlang sekalipun, saya redha dengan apa yang saya terima ketika itu. 

Saya tahu mereka yang meniru juga berusaha sehebat mungkin untuk memikir strategi untuk meniru. Berusaha sekeras mungkin agar mereka tidak tertangkap ketika peperiksaan dijalankan, namun yang membuat saya terasa sedikit jelek apabila dengan bangganya golongan ini mencanangkan bahawa mereka hebat dan ini barulah dikatakan sebagai study smart not study hard!

 Asas Hukum Meniru?



1) Meniru itu adalah menipu, dan menipu hukumnya haram. Sebuah hadis :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah melalui seorang laki-laki yang sedangI menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya? Barangsiapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)" 
(Riwayat Muslim, 1/99)
 
2) Pernah juga diriwayatkan bahawa : 
إن الله إذا حرم شيئا حرم ثمنه

Sesungguhnya ALLAH apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram).
(Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312)

3) Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya. Apabila Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mendapat tahu lalu terus berkata :
قَاتَلَ الله الْيَهُودَ حُرِّمَ عليهم الشَّحْمُ فَبَاعُوهُ وَأَكَلُوا ثَمَنَهُ

ALLAH akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini apabila ALLAH mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.
(Riwayat Al-Bukhari no 2111, 2/775 ; Muslim, Baihaqi)

Dari kedua-dua dalil di atas, jelas kepada kita hukum meniru dalam peperiksaan adalah haram kerana ia adalah satu bentuk penipuan.

Dari hadis ketiga juga dapat difahami setiap hasil keuntungan duniawi yang terhasil dari yang haram, maka hukumnya adalah haram jua. Tatkala itu, kenaikan gaji yang diperolehi dari peperiksaan dan pekerjaan yang dilakukan juga adalah dikira pendapatan yang haram. 

Amat malang, penipuan yang memberi manfaat dunia seperti ini cukup digemari oleh ramai orang, tanpa mereka sedari kehidupan akhirat mereka dalam bahaya apabila kehidupan harian mereka dikelilingi oleh duit kenaikan gaji dan untung haram tanpa mereka sedari. 

Dosa ini ibarat 'time bomb' yang amat menderitakan di alam barzakh, ibarat 'time bomb'  yang akan meletup sejurus seorang itu disapa kematian. Mati dalam keadaan sebegini, adalah mati dengan penuh dosa disebabkan hartanya.

Tindakan u turn bagi mereka yang telah terlanjur begini adalah dengan segera bertaubat, melupuskan harta yang haram secara ansuran, memperbanyakkan sedekah dan juga meningkatkan kualiti diri sesuai dengan nilai 'sijil Diploma/Ijazah' yang diperolehinya (bagi yang bekerja). 

Tetapi, bagi pelajar, usahakanlah untuk berubah. Bersungguhlah dalam menuntut ilmu. Jaminan rezeki yang halal dan berkat bermula dari cara dan usaha awal (menuntut ilmu) yang benar dan berkat. 

Kekayaan, pangkat dan kebesaran yang dikecapi adalah sementara sahaja, amat jarang kenikmatan sementara ini mampu dikecapi melebihi 60 tahun. Justeru, mengapakah kita masih lagi terlalu ghairah untuk mengumpulkannya tanpa mengira haramnya?

Malangnya diri yang terlupa kematiannya penamat segala kenikmatan dunia.  Justeru carilah harta dari yang HALAL sahaja. 


Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
أكثروا ذكر هاذم اللذات الموت
  
Perbanyakkanlah ingatan kepada pemutus segala nikmat (dunia) iaitu MAUT.
( At-Tirmidzi, 4/553 ; Ibn Hibban, 7/259 ; Imam Tirmidzi : Hadith Hasan Ghorib)


Halal Dan Berkatkan Rezeki?

Peperiksaan merupakan amanah kepada kita; amanah kita dengan diri sendiri, amanah kita dengan ibu bapa, amanah kita dengan guru atau pensyarah, dan yang paling utama amanah kita dengan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala.

Cuba bayangkan jika kita mendapat pekerjaan dari hasil kita meniru di dalam peperiksaan dahulu. Kita beri anak isteri kita makan(bagi lelaki), kita berikan mak ayah kita - sedangkan hasil yang kita peroleh di atas jalan kezaliman kerana kita mengambil hak orang lain yang sepatutnya mendapat pekerjaan tersebut berdasarkan penilaian akademik yg sebenar.

Adakah rezeki yg kita dapatkan itu adalah HALAL dan BERKAT?

Ayuh fikirkan! Tepuk dada tanya iman anda.

Ingatlah sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam "La imana liman la amanata lahu" yang bermaksud Tidak ada iman bagi sesiapa yg tidak ada amanah pada dirinya”.

Dan tidak amanah atau khianat ini merupakan satu ciri dari 3 ciri org yg munafik yg diterangkan di dalam hadis yang diriwayat dari Abi Hurairah Radhiallahu anhu:

 Ayatul munafiqi thlasah, iza haddasa kazaba waiza wa’ada akhlafa waiza’tumina khaana
  
Tanda-tanda atau ciri-ciri orang yg munafik ada tiga: 1) bila bercakap dia berdusta 2) bila berjanji dia mungkiri 3) bila diberi amanah dia khianati.


Perkaitan Kudrat Dan Meniru


Kembali kepada perkaitan antara kudrat kita sebagai hamba ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala dengan perbuatan meniru. 

Saya ingin kita fikirkan bersama. Adakah ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala suka dengan perbuatan meniru ini? 

Saat hati kita ragu-ragu untuk menjawab, saat rasa gundah dan serba salah hadir, itulah ketidaktenangan hati. Ingatlah, saat kita merasa tidak tenang melakukan sesuatu yang kita tidak pasti, yakinlah disitu ada hint yang ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berikan. Bersandarkan firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran:


(TUHAN yang membuka jalan kemenangan itu) DIAlah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh), supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada pada hal ALLAH menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan ALLAH adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al-Fath: 3)

  
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah". Ketahuilah! Dengan "dzikrullah"itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah Ar-Ra'd: 28)
Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya.
 (Surah Al-Fajr: 27-28)

Selusuri dengan pandangan mata hati, redha ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala sangat berkait rapat dengan ketenangan hati. Fatwa Hati. Demikian juga yang disebutkan dalam Hadith 40 Imam Nawawi. 

Kudrat kita, kehendak kita, nafsu yang memburu, mahukan kecemerlangan. Tidak salah, tapi janganlah usahakan melalui jalan yang tidak benar. Kita mahu berjaya, tapi tidak mahu berusaha dengan usaha yang benar (meniru juga adalah usaha, ya. Tapi usaha yang salah). 

Jangan sampai, bila kita dah berjaya, harta pun dah mencapai status kaya, pangkat dah tinggi dan megah, anak-anak dihantar keluar negara, hidup mewah, namun diakhirnya kita tersungkur lemah tak berdaya. Akhirnya di HARI PERHITUNGAN, kita menjadi papa-kedana kerana rupanya ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tidak memandang harta, pangkat, nilai keputusan dalam penghakiman-NYA. 
Lalu, jadilah kita orang yang rugi yang muflis dan dicampak ke tempat yang tiada keampunan melainkan azab siksa-NYA. Na'uzubillahi min dzalik ya Rabb. Pada saat itulah, kita ibarat anak kecil yang cuba meniup pokok yang besar. Kita cuba menegakkan kehendak diri, ternyata ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala adalah Sang Agung Yang Sangat Perkasa dan Berkuasa terhadap segalanya.

Wahai diri dan sahabat yang saya kasihi kerana ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala,

Biarlah result kita rendah asalkan BERKAT. NAMUN LEBIH BAIK jika keputusan kita cemerlang melalui usaha yang BENAR. Yakinlah, bahawa ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tidak memandang berapa nilai PNGK yang kita ada. Tetapi ALLAH Subhanahu Wa Ta'la menilai bagaimana cara dan usaha yang kita lakukan dalam kita menjalani aturan kehidupan hamba, abid yang diciptakan untuk beribadah kepada-NYA. ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala melihat bagaimana kita cara kita menjadikan peperiksaan itu satu nilaian IBADAH disisi ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. Kerana hanya itu yang membezakan kita disisi-NYA. Taqwa dan rasa bertuhan (ihsan) ketika kita menjawab soalan.
Ayuh bersama kita fikirkan dan renungkan...

Sesungguhnya, SEDIKIT yang berkat itu akan sentiasa terasa mencukupi. Sedangkan yang BANYAK tetapi tidak berkat, tidak akan pernah terasa puas apatah lagi rasa mencukupi.

Selamat Menempuhi Peperiksaan Akhir Semester kepada Pelajar Vision College. Didoakan kejayaan menjadi milik anda. SIFAR MENIRU!

Wallahu a'lam bish-shawabi.
Nota Kaki: Sedikit tambahan...
terjemahan kata-kata Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin, seperti berikut:

- Tidak halal bagi seorang pelajar meniru ketika peperiksaan. Kerana perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar, kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Sesiapa menipu, maka bukan dari kalangan kami".

-Dan kerana hasil kerja menirunya, dia akan berjaya dalam peperiksaan, dan diberikan slip peperiksaan, sedangkan dia tidak berhak memperolehinya.

-Kemudian, dia akan menjawat pekerjaan dalam negaranya, sedangkan jawatan-jawatan itu tidak layak diberikan kecuali kepada orang yang mempunyai sijil. Jika sijil yang diperolehinya adalah hasil daripada perbuatan meniru, maka dibimbangi gaji-gaji yang diperolehi adalah harta haram.

-Kerana, dia mendapat gaji tersebut walhal dia tidak berhak, kerana dia sebenarnya tidak mencapai kelayakan yang sebenar. Atau dengan kata lebih tepat, dia tidak mencapai tahap yang melayakkan dirinya menjawat sesuatu jawatan. Maka penerimaan gajinya adalah termasuk memakan harta tanpa hak.

- Manakala sangkaan sesetengah orang bahawa tidak mengapa meniru dalam subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, atau Matematik, sangkaan ini tidak berasas. Kerana semua subjek yang terdapat dalam kurikulum hendaklah dikuasai oleh pelajar. Dia juga diberikan sijil dengan kepercayaan dia menguasai semua subjek. Jika dia meniru dalam sesetengah subjek, maka ia dikira khianat terhadap amanahnya, dan pada hakikatnya dia tidak berjaya.

8 ulasan:

  1. Assalamualaikum. Bagaimana caranya untuk bertaubat jika kita sudah bekerja. Khuatir atas rezeki yang Allah beri tidak berkat. Mohon bantuan adakah Allah masih menerima taubat kita sesudah bekerja?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Banyakkan bersedekah, mohon ampun pada Allah dan bertaubat. Wallahu a'lam

      Padam
    2. Bagi sy, even masih sebagai pelajar kita kena mula bersedekah dan bersihkan rezeki.
      Sekarang ni musim odl (online distance learning) dan bagi sy ni lah bentuk ujian Allah nak bagi kepada para mujahid(org yg berjihad) sama ada mereka jujur dlm online exam atau tidak. ~agak tiberr,hahahhah maaf agak emo.

      Padam
  2. Semoga allah menerima taubat hamba yg berdosa di atas kesilapan dan kesalahan masa lalu...

    BalasPadam
  3. Bagaimana pula jika meniru dalam peperiksaan STPM dan kita menggunakan sijil itu untuk ke degree adakah juga nanti ianya akan terkesan kepada pendapatan kita

    BalasPadam
  4. assalamualaikum, sy pernah tidak jujur waktu exam, saya kesal dgn perbuatan saya. dan saya berniat untuk apply scholarship dgn hasil result semester tersebut, boleh ke dy teruskan niat untuk apply, sy risau nilainya nnt akan jd suatu yg haram sbb perbuatn sy itu. mohon penjelasan.

    BalasPadam
  5. Jika saya telah melakukan perkara di atas bagaimana ye? Saya benar kesal dan bertaubat . Adakah nanti apabila saya bekerja gaji saya halal ?

    BalasPadam