Isnin, 27 Oktober 2014

Kenalkan Aku Dengan Diriku


Bismillahhir rahmanir rahim:
بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
In the name of ALLAH, the beneficient, the merciful.
 
اَهْلاًوَسَهْلاً (ahlan wa sahlan)

Keadaan diri yang kurang sihat hari ini disebabkan sepanjang minggu lepas asyik meredah hujan - cuaca di Kuala Lumpur pasti akan hujan di sebelah petangnya - membuatkan saya mengambil cuti sakit dan berehat sahaja di rumah hari ini. 

Biarpun sakit, saya tetap gagahkan juga diri saya ini untuk singgah sebentar di laman blog saya ini. Bosan. 

Ya, meski diri ini merasa kurang selesa dan kurang bertenaga, tapi jangan dituruti rasa sakit itu. Berbahagialah bila sakit. 

Mengapa harus berbahagia apabila jatuh sakit?

Bukankah sakit adalah malapetaka?

Hidup sihat sebelum sakit adalah antara lima perkara yang pasti akan hadir dalam hidup setiap manusia. Manusia hanya dapat menilai harga sebuah kesihatan ketika diuji dengan kesakitan. Sakit akan datang tanpa diundang bila-bila masa tiada peringatan. Sakit itu bukan penyeksaan tetapi peringatan bagi manusia yang sentiasa ingat pada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala. 


Dari Anas Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Salla Allahu alaihi Wa Sallam telah bersabda: Maksudnya: "Jika ALLAH menghendaki kebaikan bagi seorang hamba-NYA, disegerakan baginya kesusahan (balasan) sewaktu di dunia lagi. Sebaliknya jika ALLAH menghendaki kejahatan bagi seorang hamba-NYA, ditangguhkan pembalasan ke atasnya sehingga hari Kiamat."
(Hadis riwayat At-Tirmizi: 2395, "Hadis Hasan", Sahih Al-Jami' As-Saghir: 308)


Rasulullah Salla Allahu alaihi Wa Salam bersabda, "Tidaklah seorang muslim menderita sakit kerana suatu penyakit melainkan ALLAH menggugurkan kesalahan-kesalahannya dengan penyakit itu, sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya". 
(HR Bukhari, Muslim)


Dari Ummu Al-Ala’, dia berkata : “Rasulullah Salla Allahu alaihi Wa Salam menjengukku pada masa aku sedang sakit, lalu baginda berkata. ‘Gembirakanlah wahai Ummu Al-Ala’. Sesungguhnya sakitnya orang muslim itu membuatkan ALLAH mengampunkan dosa-dosanya, sebagaimana api yang menghilangkan kotoran pada emas dan perak”. 
(HR Abu Daud)


Oleh itu kita sebenarnya tak ada alasan untuk sedih dan mengeluh semasa kita sakit, kerana sebenarnya itu adalah kasih sayang ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala pada kita. Kita mengeluh semasa sakit kerana kita tak tahu rahsianya. Sakit, dalam bentuknya yang lain, itu harus disyukuri kerana itu adalah bukti kasih sayang ALLAH pada kita.
 
Tahukah, ketika kita sedang bergelut dengan kesakitan, ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala mengutus 4 malaikat untuk selalu menjaga kita dalam sakit.

Ini sudah cukup dijadikan bukti betapa ALLAH sayangkan kita. Berbahagialah bila sakit. Bersyukurlah bila sakit. 


ALLAH HUMMA ARRIFNI NAFSII





Petang ini hujan turun dengan lebatnya bagaikan air dicurahkan dari langit untuk membasahkan bumi. Alhamdulillah syukur kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala kerana menganugerahkan nikmat hujan kepada kita.

Dari balkoni kondominum saya mendongak ke langit. Tidak kelihatan. Putih sahaja kerana hujan lebat menghalang penglihatan saya. Terdetik di hati saya, adakah hujan yang turun ini adalah arahan ALLAH kepada malaikat-malaikat-NYA untuk mencurahkan air sebanyak mungkin kerana DIA ingin mencuci bumi ciptaan-NYA ini yang penuh dengan kekotoran dosa. 

Persoalan demi persoalan timbul dalam otak saya ini. 

Mendongak semula ke langit melihat betapa indahnya benih-benih hujan turun. Saya suka hujan. Ini lah masa yang paling indah dan mendamaikan jiwa saya. Tangan ini menadah air hujan, sejuk. Ya, saya dapat melihat hujan, menyentuh hujan dan rasa kedinginan air hujan. Saya dapat melihat langit dan gempulan awan-awan mendung yang menghasilkan hujan ketika ini. 

Kemudian hati kecil ini seperti berbisik dengan yakin. Dari atas sana, saya sekarang tengah dilihat dan diperhatikan. Ya, tengah diperhatikan oleh DIA. DIA yang telah menciptakan saya. Lalu saya perhatikan diri saya sendiri. 




Saya kenal dengan benda-benda di sekeliling saya, saya kenal hujan, saya kenal awan, saya kenal angin walaupun tidak dapat melihatnya. Saya kenal insan-insan disekitar saya, saya kenal ibu bapa saya, adik-beradik saya, kaum keluarga saya serta sahabat-sahabat yang saya sayangi. Saya tahu membaca, saya tahu mengira, saya tahu menulis, saya tahu menari, saya tahu memasak, saya tahu melukis dan saya tahu menyanyi. Saya tahu apa itu dosa, saya tahu apa itu pahala, saya tahu apa itu haram, saya tahu apa itu halal dan saya tahu menilai antara yang baik dengan yang buruk.

"Tetapi, adakah saya kenal, tahu dan menilai diri saya sendiri?"
Bercakap pasal diri, semestinya masing-masing mempunyai kisah silam tersendiri. Mungkin pada kisah silam itu terselit pengalaman suka duka yang sangat menyakitkan, boleh jadi juga yang amat menggembirakan. Apa pun, ia tetap merupakan satu pengalaman walaupun ada waktu apabila terkenangkannya, sesekali terasa ada tusukan pedang di jiwa kita.

Kisah silam tidak patut disesali sehingga kita benci walaupun sekadar mengingati detik-detik yang pernah dilalui. Kalau sesalan itu menimbulkan keinsafan, tidak mengapa. Tetapi jika sesalan itu lebih menimbulkan benci, saya kira kita patut periksa hati masing-masing. Mungkin ada dendam pada manusia. Atau - berdendam pada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala secara halus tanpa kita sedari.

Berdendam pada-NYA secara halus? Memang adakah spesis manusia sebegini? Jawapannya - semestinya ADA - saya salah seorang daripada spesis manusia sebegitu. Tetapi itu dahulu, sebelum saya mengenali DIA dengan lebih dekat dan memilih untuk kembali kepada-NYA.

Dendam yang begitu adalah satu perasaan yang merasakan bahawa ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala tidak adil terhadap hidup kita yang DIA rencanakan. Maka, mulalah mempersoalkan kenapa kita hidup begini, hidup orang lain begitu. Kenapa kita dilahirkan untuk jadi begini sedangkan orang lain sudah jadi begitu?

Saya tidak menyentuh tentang kesempurnaan. Kita semua sedia maklum, tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini. Hidup ini penuh dengan cacat cela. Apa yang pasti, ketidaksempurnaan itu DIA tidak ciptakan dengan sia-sia kerana di sebaliknya terlindung kelebihan yang setiap kita mesti usahakan. Tinggal kita buka mata hati dan berusaha. 


Firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 216:




  



Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci. Boleh jadi sesuatu yang kami benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.
(Surah Al-Baqarah: 216)

"ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak menetahui."

Pernah tidak kita bersoal jawab dengan kisah atau pengalaman silam sendiri?

Tanpa sedari, pengalaman silam itu yang membantu kita menjadi diri kita pada hari ini. Kadang-kadang  ada manusia yang melalui pengalaman yang pahit pada masa silamnya, lalu dia berubah menjadi seseorang yang seboleh-bolehnya tidak mahu orang lain merasai apa yang pernah dirasainya dahulu. Namun begitu, ada juga yang berubah menjadi sebaliknya. 

Nah, kita yang mana sebenarnya?

Pegang dada, pejam mata dan tanya diri sendiri. 

Bagi diri saya, sering mengingatkan diri ini bahawa semuanya adalah ujian daripada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala kepada diri saya ini. Sesuai dengan firman ALLAH di dalam Al-Quran, surah Al-'Ankabut ayat 2:



Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah Al-'Ankabut: 2)
  
 Wallahu a'lam bish-shawabi.

Nota Kaki: Kadang-kadang ALLAH tidak memberikan apa yang kita mahu. Bukan kerana kita tidak berhak untuk perkara tersebut. Tetapi kerana ALLAH tahu, kita berhak lebih baik dari itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan